BN Pahang mohon parti lain beri laluan, selepas PKR tak tanding PRK Chini

Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jika PRK Chini diteruskan, peluang BN untuk mempertahankan kerusi itu adalah besar berdasarkan kedudukan politik semasa disebabkan kerjasama dengan PAS dan parti lain dalam PN.

PETALING JAYA: Barisan Nasional Pahang hari ini memohon parti politik dan calon bebas memberi peluang kepadanya untuk menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bulan depan.

Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berbuat demikian bagi mengelakkan penularan Covid-19 ketika berkempen, selain Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu menjimatkan kira-kira RM4.3 juta jika tiada PRK di DUN itu.

“Saranan ini selari pandangan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang berkata sekarang bukan masa sesuai mengadakan pilihan raya umum (PRU) berikutan keadaan tidak mengizinkan dan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan pandemik ini.

“Mahathir mungkin lebih menjurus kepada PRU, tetapi seharusnya turut meliputi PRK seperti PRK Chini kerana kedua-duanya turut melibatkan pergerakan orang ramai yang boleh mengancam kesihatan awam menerusi jangkitan pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdy yang juga menteri besar Pahang itu berkata, jika PRK Chini diteruskan, peluang BN untuk mempertahankan kerusi itu adalah besar berdasarkan kedudukan politik semasa disebabkan kerjasama dengan PAS dan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN).

“PAS sendiri meminta kerusi Chini tidak dipertandingkan, ia akan memberi peluang kepada calon BN untuk menang lebih besar lagi.

“Apa yang saya katakan ini tidaklah bermakna BN bersikap riak atau takabbur, tetapi sekadar menyatakan realiti semasa. Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti-parti lain, termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan tidak bertanding.

“Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik, tetapi inilah penyelesaian terbaik ketika negara dan negeri ini masih dibelenggu penularan Covid-19.”

Katanya, cadangan itu juga sejajar pengumuman PKR pagi tadi yang tidak akan meletakkan calon di PRK Chini demi menjaga keselamatan dan kesihatan pengundi.

DUN Chini kosong ekoran kematian penyandang, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.

Wakil rakyat BN itu menewaskan pencabarnya, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dari PAS dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR dengan majoriti 4,622 undi.