Dunia berdepan Covid-19, Acheh pula tetap jalani hukuman sebat

Pasangan yang hendak disebat diperiksa suhu badan dan memakai topeng muka ketika mereka disebat di luar sebuah masjid di barat Sumatera. (Gambar Reuters)

Di saat seluruh dunia berdepan kebimbangan pandemik Covid-19 dengan mengamalkan penjarakan sosial, sepasang kekasih di Acheh yang ditangkap atas kesalahan melakukan zina menerima hukuman 100 sebatan setiap seorang pada Jumaat.

Acheh yang terkenal sebagai satu-satunya wilayah di Indonesia mempunyai penduduk Islam paling ramai mengamalkan pelaksanaan undang-undang syariah Islam.

Kesalahan yang memungkinkan hukuman sebat dikenakan termasuklah perjudian, perzinaan, meminum minuman keras dan hubungan seks sejenis.

Seperti kebiasaannya, hukuman sebat akan dilakukan di tempat terbuka yang boleh ditonton orang ramai.

Sungguhpun wujud larangan perhimpunan orang ramai, namun pegawai menegaskan mereka mematuhi peraturan penjarakkan sosial selain mengambil langkah pencegahan lain.

Pasangan itu diperiksa suhu badan dan memakai topeng muka ketika mereka disebat di luar sebuah masjid di barat Sumatera.

Bagaimanapun hanya kumpulan kecil sahaja yang menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat itu.

“Tidak banyak orang yang datang hari ini kerana mereka sudah pernah melihatnya berkali-kali, ataupun mereka takut dengan Covid-19,” kata seorang penduduk tempatan, Faisal.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]