Kami tidak jual maruah, pemimpin GPS jawab ‘sindiran’ Guan Eng

Naib presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, GPS telah membuat keputusan sejak awal Februari mengenai pihak yang disokongnya.

KUCHING: Seorang pemimpin gabungan kerajaan Sarawak hari ini berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan menjual maruah bagi mendapatkan kuasa berikutan dakwaan bahawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memperoleh sokongan gabungan itu.

Naib presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian susulan dakwaan bahawa GPS menyokong usaha terbaru Mahathir membentuk kerajaan persekutuan baru, selain kenyataan spekulatif setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

GPS adalah gabungan PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Terdahulu hari ini, Lim membuat hantaran gambar burung kenyalang dan bertanya sama ada ia merupakan tanda harapan akan terus bersinar untuk Malaysia baru.

Beliau berkata, burung itu hinggap di hadapannya di sebuah kafe di Taman Burung, Kuala Lumpur.

Burung kenyalang adalah simbol negeri Sarawak dan merupakan sebahagian daripada jata rasmi negeri itu.

Karim berkata, “pemimpin parti di semenanjung boleh terus mengatur langkah terhadap satu sama lain, tetapi bagi GPS, ia telah membuat keputusan sejak awal Februari mengenai pihak yang disokongnya.

Pada Februari, Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri, sekali gus membuka jalan kepada penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada ahli Parlimen PPBM, Umno, PAS dan parti kecil lain dengan sokongan GPS.

“Keputusan itu berjaya mengatasi kebuntuan politik yang berlaku, justeru membolehkan Malaysia terus melangkah ke depan,” kata Karim.

“Hari ini nampaknya sebilangan pemimpin gila kuasa sekali lagi berusaha untuk menggugat kestabilan negara. Saya percaya sesetengah mereka akan menghubungi GPS dan pemimpinnya (berkait perkara itu),” katanya kepada FMT.

Karim yang merupakan Adun Asajaya berharap perebutan atau kebuntuan politik tidak berlaku sekali lagi.

“Rakyat sudah muak dengan ahli politik lapar kuasa ini, sebaliknya mahu kerajaan terus melangkah ke depan, tangani wabak Covid-19 dan pulihkan ekonomi negara.

“Pada ketika ini, kita bernasib baik kerana GPS berada pada kedudukan yang boleh dianggap penentu kerana pihak yang mendapat sokongannya akan meraih majoriti mudah di Dewan Rakyat, sekali gus layak membentuk kerajaan persekutuan.”

Dalam pada itu, ahli Majlis Tertinggi PBB Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu FMT bahawa perlembagaan persekutuan tidak memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memecat perdana menteri yang memerintah.

“Seseorang pemimpin politik tidak boleh secara sewenang-wenang pergi ke Istana Negara dengan senarai nama 130 ahli Parlimen atau apa juga angkanya untuk menghadap Agong dan memohon untuk dilantik sebagai perdana menteri yang baru,” katanya.

Beliau juga berkata konsep “undi tidak percaya” tidak wujud secara undang-undang dalam sistem berparlimen Malaysia, sama ada di dalam perlembagaan persekutuan, peraturan tetap Dewan Rakyat atau statut kuasa-kuasa Parlimen.

“Bagaimanapun ayat dalam Perkara 43 (4) perlembagaan mengisyaratkan bahawa hanya Agong dan perdana menteri mempunyai kuasa penilaian sama ada seseorang perdana menteri mempunyai sokongan majoriti atau sebaliknya,” kata Wan Junaidi.