Kedai gunting rambut dibenar beroperasi 10 Jun depan

Majlis Keselamatan Negara bersetuju dengan pembentangan KPDNHEP berhubung operasi kedai gunting rambut, tetapi ia perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan.

PETALING JAYA: Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membenarkan operasi perniagaan kedai gunting rambut dan berkaitan bermula 10 Jun depan.

Ismail berkata, MKN bersetuju dengan pembentangan yang dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung perkara itu, tetapi ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan ditetapkan.

“Mesyuarat hari ini bersetuju untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut, ‘hair dresser’ dan berkaitan kecantikan bermula 10 Jun, dengan pelaksanaan SOP yang ketat.

“Untuk makluman, sektor perniagaan gunting rambut ini menyumbang kepada KDNK sebanyak RM13.5 bilion,” katanya pada sidang media hariannya, hari ini.

Ismail berkata, bagi golongan berisiko, iaitu individu berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan diwajibkan secara temu janji dan tanpa kehadiran pelanggan daripada kumpulan umur lain.

“Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, ibu bapa dibenarkan hadir bersama, tetapi perlu mematuhi pemakaian alat pelindung diri seperti penutup muka dan apron pakai buang.

“Pengusaha perlu sediakan apron pakai buang berbeza bagi setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi. Apabila habis, ia mesti dibuang atau mungkin dibawa balik oleh pelanggan,” katanya.

MKN tetap SOP operasi pasar

Pada masa sama, Ismail turut memaklumkan mesyuarat MKN hari ini juga membenarkan operasi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria di seluruh Wilayah Persekutuan bermula 15 Jun depan.

“SOP ini sudah dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini termasuk waktu pembukaan yang dihadkan bagi pasar pagi dan pasar terbuka, iaitu 6 pagi hingga 11 pagi; pasar malam (4 petang hingga 10 malam) dan bazaria (5 petang hingga 11 malam).

Jelas Ismail, jarak sosial antara gerai ke gerai seperti yang ditetapkan adalah 1.5 meter hingga 2 meter dan lokasi kawasan perlulah terbuka dan berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala.

“Pasar ini hanya dibenarkan menjual secara “take-away” sahaja. Peniaga juga perlu memakai pakaian perlindungan diri, sarung tangan dan penutup muka,” katanya.

Tambahnya, SOP ini juga boleh diguna pakai oleh pihak berkuasa tempatan untuk pasar di seluruh Malaysia. Tindakan penutupan serta merta akan diambil sekiranya gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“(Ini) bermakna bermula 15 Jun depan, bukan setakat kebenaran untuk pembukaan pasar malam, pagi dan di seluruh Wilayah Persekutuan, tetapi turut dibenarkan pembukaan pasar malam dan pagi di seluruh negara dengan SOP sama.

“Peniaga dan pengunjung diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya merujuk kepada aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan bagi membantu pengawasan jangkitan wabak Covid-19.

Ia membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri, selain membantu KKM mendapat maklumat awal jangkitan.