Lebih ramai dibenar bersolat jemaah di masjid dengan kelulusan raja

Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada halangan untuk orang ramai menunaikan solat berjemaah di masjid asalkan mereka mengamalkan penjarakan sosial. 

PETALING JAYA: Putrajaya secara dasarnya bersetuju memberi kelonggaran untuk lebih ramai umat Islam menunaikan solat berjemaah, tetapi ia tertakluk kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong dan raja, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

“Kalau dulu dihadkan kepada 30 orang sahaja, tetapi tadi kita bersetuju berdasarkan keluasan masjid. Asalkan ada penjarakan sosial dalam masjid, maka tidak ada halangan untuk orang ramai melakukan solat secara berjemaah.

“Kalau masjid itu besar, seperti masjid di Putrajaya, kalau 1m penjarakan mungkin boleh sampai 200 hingga 300 orang, maka kadar itulah jemaahnya.

Ismail berkata, Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan membuat pengumuman selepas mendapat kelulusan Agong dan raja.

“Kita sebut secara dasarnya kerana setiap perkara berkaitan agama mesti dapat kelulusan raja-raja bagi peringkat negeri dan Yang di-Pertuan Agong jika melibatkan negeri tidak beraja.

“SOP ini hanyalah untuk Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Labuan sahaja,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Zulkifli membentangkan SOP Perluasan Kapasiti Jemaah bagi Solat Jumaat dan Solat Berjemaah dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ismail hari ini.

Ketika ini, solat Jumaat dan berjemaah dibenarkan di masjid dan surau terpilih di zon hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan dengan jumlah jemaah minimum 3 orang, tidak termasuk imam, dan tidak melebihi 30 orang.

Bagaimanapun, SOP solat berjemaah di masjid untuk setiap negeri berbeza dan bergantung kepada kelulusan sultan masing-masing.