Najib bidas sikap berat sebelah DAP, Amanah berhubung pelantikan pengerusi pelabuhan

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, pelantikan pemimpin MCA sebagai pengerusi pelabuhan adalah menggantikan pemimpin DAP yang dilantik ke jawatan itu oleh kerajaan sebelum ini.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini membidas Amanah dan DAP yang membantah pelantikan pemimpin MCA sebagai pengerusi lembaga pelabuhan.

“DAP dan Amanah memainkan propaganda tuduh pelantikan pemimpin MCA sebagai pengerusi lembaga pelabuhan Bintulu, Melaka, Klang dan Pulau Pinang sebagai langkah bagi MCA menguasai pelabuhan di Malaysia.

“Pelantikan itu memang berlaku, tetapi DAP dan Amanah hanya buat cerita separuh sahaja. Ya, kerajaan Perikatan Nasional memang lantik pemimpin MCA untuk jadi pengerusi lembaga-lembaga pelabuhan.

“Tetapi mereka dilantik untuk ganti pemimpin-pemimpin DAP yang dilantik menteri DAP, walaupun dia pernah janji tidak akan lantik orang politik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Najib turut menyifatkan kritikan parti terbabit bersifat hipokrit.

Ini memandangkan pada September 2018, menteri pengangkutan ketika itu, Loke Siew Fook mengumumkan bahawa pengerusi pelabuhan akan dipilih dari golongan profesional, bukan dalam kalangan orang politik.

“Namun pada November 2018, dia lantik ahli jawatankuasa CEC DAP dan ahli jawatankuasa DAP Sarawak sebagai pengerusi pelabuhan Bintulu. Pada Feb 2019, dia lantik ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu sebagai pengerusi pelabuhan Labuan.

“Pada Mac 2019, dia lantik penolong bendahari DAP Pulau Pinang yang juga bekas pegawai khas Lim Guan Eng sebagai pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang. Pada Mei 2019, dia lantik Adun DAP yang juga bekas ketua DAP Selangor sebagai pengerusi Pelabuhan Klang,” katanya.

Tambahan pula kata Najib, turut dicadangkan nama ahli Parlimen DAP Melaka untuk menjadi pengerusi Pelabuhan Melaka, tetapi ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

“DAP suci, pihak lain sahaja yang tidak boleh buat. Parti Amanah pun setuju dengan DAP walaupun nampak sangat hipokrit,” katanya.