Pemuda Umno gesa semua parti laksana ‘gencatan politik’ bantu pulih ekonomi

Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda Umno akan menggerakkan semua jentera di seluruh negara untuk memantau pelaksanaan Penjana dan memberi maklum balas kepada kerajaan bagi memastikan semua objektif pemulihan ekonomi mampu direalisasikan.

PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa semua parti berhenti merebut kuasa untuk membantu kerajaan memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan Covid-19.

“Bagi merealisasikan agenda pemulihan ekonomi rakyat ini, Pemuda Umno menyarankan ahli-ahli politik tidak kira daripada gabungan parti politik dalam kerajaan mahupun pembangkang segera melakukan gencatan politik buat seketika.

“Penggemblengan usaha ke arah membela nasib rakyat yang kian resah dan susah harus menjadi keutamaan ketika ini berbanding perkiraan untung rugi perpolitikan jangka pendek dan perebutan kuasa berterusan yang hanya akan memudaratkan rakyat dan negara jangka panjang,” kata Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM35 bilion dalam usaha memulihkan ekonomi negara daripada impak penularan Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Hari ini, Pemuda Umno menyambut baik pengumuman 40 inisiatif dan insentif di bawah Penjana yang mencakupi semua pihak, termasuk pekerja, perusahaan kecil dan sederhana, belia serta rakyat biasa pelbagai peringkat.

“Sememangnya tempoh 3 hingga 6 bulan akan datang adalah saat paling getir buat rakyat untuk kembali menyesuaikan diri dalam kehidupan yang kian mencabar lantaran kegawatan ekonomi semasa pasca PKP akibat pandemik Covid-19.

Katanya, Pemuda Umno akan menggerakkan semua jentera di seluruh negara untuk memantau pelaksanaan Penjana dan memberi maklum balas kepada kerajaan bagi memastikan semua objektif pemulihan ekonomi mampu direalisasikan.