Peranan Lembaga Pentadbiran MAS Kg Baru tidak lagi relevan, kata perbadanan pembangunan

Perbadanan Pembangunan Kampung Baru berkata, Kaedah-kaedah MAS hendaklah dimansuhkan kerana ia tidak lagi mempunyai apa-apa fungsi memandangkan kebanyakan tanah MAS telah menjadi tanah beri milik.

KUALA LUMPUR: Peranan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) tidak lagi relevan dalam menjalankan fungsi pentadbiran tanah, perancangan dan pengurusan perbandaran Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), keputusan itu diambil setelah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2 Dis 2019 dengan mengambil kira pandangan perundangan daripada Jabatan Peguam Negara berkenaan status lembaga itu serta surat daripada Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan bertarikh 13 Feb 2020.

“Sebarang urusan berhubung dengan status Lembaga Pentadbiran MAS diserahkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang semasa yang berkuat kuasa.

“Fungsi pentadbiran tanah di Kampung Baru dilaksanakan sepenuhnya oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL), bukannya di bawah Kaedah-kaedah MAS berdasarkan peruntukan Subseksyen 5 (1) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 1973 (Akta A206),” menurut kenyataan itu hari ini.

PKB juga memaklumkan Kaedah-kaedah MAS hendaklah dimansuhkan kerana ia tidak lagi mempunyai apa-apa fungsi memandangkan kebanyakan tanah MAS telah menjadi tanah beri milik dan tanah yang tinggal hanya menunggu masa untuk diberi milikan.

“Perkara-perkara yang berkaitan dengan perancangan dan pengurusan perbandaran Kampung Baru merupakan bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diperuntukkan di bawah Akta Wilayah Persekutuan (Perancangan) 1982, Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1973, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi boleh terlibat dalam pengurusan perbandaran, termasuk pengeluaran permit penjajaan, kutipan bayaran tempat letak kereta dan sewa ruang iklan serta kawalan pembangunan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Lembaga Pentadbiran MAS juga tidak boleh terlibat dalam kawalan pembangunan, termasuk mengeluarkan kelulusan perintah pembangunan, pelan bangunan, pelan kejuruteraan, permit kerja bangunan dan kerja tanah, penutupan jalan awam dan kebenaran menduduki bangunan.

Bagaimanapun, KWP mengalu-alukan penglibatan lembaga itu sebagai badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat perundingan dalam membantu urusan penyelesaian harta pusaka dan tanah dalam kalangan penduduk Kampung Baru.