Persatuan: Tukang gunting, pendandan digalak jalani saringan Covid-19 sukarela tarik pelanggan

Tujuh persatuan penggunting dan salun rambut menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pengusaha beroperasi semula rabu depan.

KUALA LUMPUR: Pengusaha salun, tukang gunting dan pendandan rambut digalakkan menjalani ujian saringan Covid-19 secara sukarela bagi meyakinkan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan mereka selepas dibenarkan beroperasi semula Rabu depan.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) TN Winda Mohd Tahir berkata, langkah itu merupakan nilai tambah yang mampu meyakinkan lagi pelanggan, di samping pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada seperti penjarakan sosial, penggunaan pelitup separuh muka serta penggunaan cecair pensanitasi tangan.

Bagaimanapun menyedari kos yang tinggi, beliau berharap bantuan dalam bentuk subsidi atau penajaan diberi oleh kerajaan atau mana-mana pihak untuk membantu pengusaha yang rata-rata terkesan dari segi kewangan selepas tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini.

“Ini lebih meyakinkan masyarakat, tetapi memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi, persatuan berharap kalau-kalau ada pihak yang sudi umembantu pengusaha supaya mereka disahkan tahap kesihatannya,” katanya di sini, hari ini.

Menurut TN Winda kebanyakan pengusaha kedai rambut bersiap sedia dengan kaedah janji temu menggunakan pelbagai aplikasi, termasuk WhatsApp bagi mengelakkan orang ramai berkerumun ke premis mereka.

Tambahnya, persatuan kedai gunting rambut dan salun juga sedang berusaha mendapatkan bantuan khas daripada kerajaan memandangkan hampir 3 bulan terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat menjalankan perniagaan.

Presiden Persatuan Pendandan Malaysia Michael Poh pula berkata, sektor perkhidmatan gunting dan dan danan rambut tidak berisiko tinggi dan adalah lebih selamat untuk beroperasi berbanding sektor lain sekiranya SOP dipatuhi.

“Ia adalah bagus untuk industri dandanan rambut …jika kita tidak buka, kita akan mati dan tidak boleh hidup. Banyak syarikat akan tutup dan kami akan kehilangan pekerjaan …jika patuh dengan SOP ia tidak menjadi masalah.

“Tujuh persatuan bersepakat dan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk pembukaan semula dan kerajaan mendengar suara kami. Ia adalah perkara yang baik,” katanya.

Persatuan terbabit adalah Persatuan Pendandan Malaysia; Persatuan Pendandan Bumiputera; Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera; Persatuan Pembangunan Kemahiran Dandanan Rambut; Persatuan Pemerkasaan Jurugaya Rambut India Malaysia; Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia dan Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, pengusaha kedai gunting rambut ‘Substract Barbershop’ di Taiping, Perak, Syadzwan Rosli, 34, lega dibenarkan beroperasi kembali dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk mematuhi SOP kerajaan, malah sanggup menjalani saringan Covid-19 sekiranya ia diwajibkan.

“Saya sangat setuju kedai gunting dapat beroperasi semula kerana kami sudah lama tidak boleh beroperasi sejak PKP dilaksanakan dan banyak komitmen perlu dibayar.

Pengusaha kedai gunting rambut F&D Hairdressing di Taman OUG, Kuala Lumpur, Felix Chang, 44, pula berkata, premisnya juga akan melaksanakan pemeriksaan suhu badan, menyembur cecair sanitasi di seluruh kedai, menyediakan QR Code untuk menyimpan rekod pelanggan, selain SOP utama yang lain.