PKR tak tanding PRK Chini

PKR berkata, SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan bagi PRK Chini.

PETALING JAYA: PKR memutuskan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu yang turut dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Harapan, dibuat selepas mengambil kira penularan Covid-19 yang belum ditangani sepenuhnya.

“Dalam konteks kebiasaan baru, prosedur operasi standard (SOP) sedang dirangka berhubung perjalanan pilihan raya, namun aspek keselamatan dan kesihatan pengundi ketika ini masih menjadi satu kerisauan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“PKR berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

“Contohnya, larangan lebih 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen dari rumah ke rumah, pondok panas serta perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihan raya.”

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, PH perlu meletakkan calon di kerusi DUN Chini.

Katanya, walaupun menyedari peluang PH menang sukar susulan rekod kekalahan teruk gabungan itu dalam pilihan raya umum lalu, namun ia boleh dijadikan medan memberi mesej kepada rakyat yang pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin perlu bersih.

Penamaan calon PRK Chini ditetapkan pada 20 Jun ini, manakala pengundian awal pada 30 Jun dengan tempoh berkempen 14 hari.

Kerusi DUN Chini kosong ekoran kematian penyandang, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.

Wakil rakyat BN itu menewaskan pencabarnya, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dari PAS dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR dengan majoriti 4,622 undi pada PRU14 lalu.