PM umum isu rentas negeri untuk orang bujang esok, kata Ismail Sabri

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas esok berhubung isu rentas negeri membabitkan individu bujang.

“Untuk orang bujang dan sebagainya dalam isu merentas negeri, saya difahamkan perdana menteri akan umumkan sesuatu esok. Jadi tunggu. Takut nanti saya umum berbeza dengan pengumuman perdana menteri atau lebih awal.

“Jadi esok, perdana menteri akan mengumumkan sesuatu dan sudah tentu banyak perkara lain akan diumumkan. Kalau (PM) tidak disebut, barulah saya akan sebut,” katanya pada sidang media hariannya, hari ini.

Pada masa sama, Ismail berkata, semua pendatang asing tanpa izin (PATI) di 3 depot tahanan imigresen telah menjalani saringan wabak Covid-19.

PATI dihantar pulang bermula 6 Jun

Menurutnya, PATI yang disahkan positif virus berkenaan sudah dihantar ke pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 di Maeps, Serdang.

“Sehingga semalam, 675 PATI sedang menerima rawatan, manakala 120 discaj. PATI yang sudah discaj akan dihantar pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Ismail berkata, fasa pertama penghantaran pulang PATI akan bermula dan melibatkan 2,189 warganegara Indonesia yang berada di depoh imigresen di Semenanjung Malaysia dan Sarawak serta 672 pati di depoh imigresen Sabah.

“Kumpulan pertama melibatkan 450 PATI akan dihantar pulang dengan 3 penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada 6 Jun, diikuti pada 10 Jun dengan penghantaran pulang 445 yang lain ke destinasi sama.

“Proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut. 1,294 PATI dijadualkan berlepas ke Medan pada 22 Jun. Fasa kedua pula melibatkan 2,623 orang lain akan dihantar pulang dalam masa 2 bulan,” katanya.