Risda digesa perjelas transaksi tanah bernilai RM15 juta di Sabah

Wujud persoalan tentang bayaran sebanyak RM18 juta kepada Risda susulan transaksi tanah yang tidak diteruskan.

KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) digesa menjelaskan kekaburan berkait laporan polis pecah amanah jenayah terhadap sebuah firma guaman di Sabah berhubung urus niaga tanah pada 2016.

Presiden SAPP Yong Teck Lee berkata, wujud dakwaan bahawa wang terbabit telah dikembalikan dan peguam yang firmanya dikaitkan dengan urus niaga itu dipercayai menghilangkan diri.

Memetik beberapa laporan media, Yong berkata, peguam yang mewakili keluarga Michael Persius Ubu mendakwa bahawa sebanyak RM18 juta telah dikembalikan kepada Risda daripada urus niaga itu.

“Keluarga berkenaan juga menafikan Ubu menghilangkan diri, sebaliknya beliau berada di rumahnya,” kata Yong.

Firma guaman milik Ubu dikaitkan dengan urus niaga tanah Risda pada 2014.

Semalam, peguam anak-anak beliau, melalui peguam Benjamin Chin, menolak dakwaan sebuah portal berita Sabah bahawa ayah mereka menghilangkan diri atau ditahan oleh Jabatan Kesihatan negeri dilokasi yang tidak diberitahu di Sabah.

Chin berkata, Ubu berada di rumah beliau.

Pada 2016, Risda membuat laporan polis mendakwa firma Ubu pecah amanah selepas urus niaga tanah bermula 2014 itu gagal diteruskan.

Risda mendakwa firma Ubu merupakan pemegang amanah dan diberikan cek bernilai RM15 juta, bersamaan deposit 10% untuk membeli tanah seluas 2,428 hektar di Tongod, sebuah daerah di pedalaman Sabah.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony, yang pada waktu itu merupakan pemimpin NGO juga dikaitkan dengan urus niaga tanah Risda tersebut dan disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.

Keberadaan Ubu tidak diketahui pada masa itu.

Yong Teck Lee

Yong berkata, kenyataan Chin itu mendedahkan beberapa perkara yang menjadi rahsia sebelum ini.

Katanya, ia bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah yang sedia ada, tetapi sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan dan kontroversi.

Beliau berkata, antara persoalannya ialah bagaimana Ubu mendapat wang RM18 juta, siapakah yang membayarnya dan bilakah ia dibuat kepada Risda.

Sekiranya wang itu dikembalikan baru-baru ini, maka Risda adalah tertakluk kepada siasatan audit, sementara para pegawainya perlu menjelaskan ke manakah wang itu disalurkan, kata Yong.

Dalam pada itu, wujud dakwaan yang tidak disahkan bahawa SPRM mungkin meminta bantuan Jabatan Peguam Negara berhubung perkara itu minggu depan.

Bagaimanapun percubaan FMT mendapatkan respons SPRM dan Anthony tidak berjaya.