Seorang meninggal dunia, 37 kes baru Covid-19

PETALING JAYA: Seorang wanita berusia 79 tahun meninggal dunia berkaitan Covid-19, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban 117 orang.

Dalam perkembangan sama, 37 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 8,303 orang sehingga kini, dengan jumlah kes aktif sebanyak 1,552.

“Daripada 37 kes baru yang dilaporkan, 8 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 29 kes penularan dalam negara, 19 kes adalah bukan warganegara dan 9 kes dalam kalangan warganegara.

“Sehingga kini 5 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tidak ada yang memerlukan bantuan pernafasan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Berhubung pertambahan 1 kes kematian membabitkan Covid-19, wanita berkenaan merupakan kontak rapat kes positif Covid-19 ke-1,508.

Beliau menunjukkan gejala jangkitan bermula 18 Mac lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Mac setelah disahkan positif Covid-19.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 5 Jun jam 2.05 petang. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga,” katanya.

Pada masa sama, Noor Hisham turut memaklumkan KKM sangat menggalakkan pemakaian penutup muka di kawasan umum, terutama sekali di kawasan yang sesak dan sempit.

“Secara prinsip pemakaian penutup hidung dan mulut perlu diutamakan bagi petugas kesihatan dan juga masyarakat umum yang bergejala. Ini kerana penularan Covid-19 disebabkan titisan cecair pernafasan dalam kalangan komuniti.

“Orang awam pula dinasihatkan memakai penutup hidung apabila berada di kawasan yang sesak dan sempit. Ini memandangkan di tempat yang sesak adalah sukar bagi individu mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter,” katanya.