Belian atas talian tidak akan ganti pusat beli belah, kata firma penyelidik

Firma penyelidikan peruncitan berkata, pembeli akan kembali ke pusat membeli belah walaupun mereka terpaksa berdepan sedikit kesukaran pada masa ini.

PETALING JAYA: Belian atas talian akan muncul sebagai saluran utama peruncitan barangan dan perkhidmatan pasca era perintah kawalan pergerakan (PKP) walaupun ia tidak akan menggantikan pusat beli belah, menurut jangkaan sebuah firma peruncitan bebas.

Kumpulan Runcit Malaysia (MRG) berkata, wabak Covid-19 dan pelaksanaan PKP memaksa banyak peruncit memberi tumpuan pada belian atas talian.

Ia berkata, sejak perintah kawalan itu dilaksanakan, perniagaan atas talian berkembang pesat dengan sesetengah peruncit merekodkan kenaikan sehingga 100%.

Pengarah urusan kumpulan itu, Tan Hai Hsin berkata, permintaan bagi produk keperluan asas dan farmaseutikal meningkat semasa PKP, dengan peruncit dalam 2 kategori itu mendapat manfaat paling besar.

Beliau berkata, apabila PKP ditarik balik, para peruncit ini akan melabur lebih banyak masa dan wang atas platform itu.

Tan berkata, peruncitan merupakan aktiviti banyak saluran dan pemain industri itu akan menggunakannya sebagai strategi bagi memperbaiki pengalaman pelanggan.

Peruncit tradisional tidak boleh bergantung pada kedai fizikal semata-mata untuk berkembang. Mereka perlu sediakan pelbagai saluran untuk menarik pelanggan moden. Peruncit atas talian pun berbuat demikian (menggunakan pendekatan pelbagai saluran),” katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam jangka panjang tingkah laku beli belah akan kembali ke masa sebelum Covid-19, walaupun operasi peruncit akan berubah.

Ini termasuklah pelaksanaan penjarakan sosial, pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan menyediakan pensanitasi tangan.

“Saya percaya pembeli bersedia menerima kesukaran kecil itu pada masa ini,” katanya dengan menambah bahawa mereka sedar ia perlu bagi menyekat penularan wabak dan bersifat sementara.

“Selain itu, ia lebih baik daripada kedai barangan bukan perlu sedemikian terus ditutup.”

Beliau berkata, dalam tempoh pelaksanaan PKP, perniagaan peruncit barangan keperluan asas daripada pelanggan langsung adalah lebih baik berbanding khidmat penghantaran walaupun peraturan penjarakan sosial mendatangkan kesukaran.

Dalam pada itu, penyedia perisian dan penyelesaian bagi syarikat e-dagang berkata, krisis Covid-19 mengganggu industri runcit.

Vaibhav Dabhade

Pengasas dan ketua pegawai eksekutif Anchanto Malaysia Vaibhav Dabhade berkata, krisis itu menjadi pencetus kepada banyak syarikat peruncitan.

“Sebaik sahaja wabak ini berakhir, industri e-dagang akan mula meneroka dan memanfaatkan strategi langsung-kepada pelanggan (D2C) dan menggunakan sepenuhnya suku tahun ke-3 dan ke-4 yang mempunyai banyak jualan istimewa musim perayaan.

Beliau menjangkakan lebih banyak pelaburan dibuat dalam infrastruktur e-dagang dengan berkata, isipadu perniagaan sesetengah syarikat meningkat sehingga 10 kali ganda, sama seperti jualan “9/9” dan “11/11” semasa tempoh pelaksaan sekatan.

Beliau berkata, syarikat terbabit menyedari mereka mempunyai kemampuan untuk mengurus isipadu sedemikian bukan untuk beberapa hari, tetapi bulan.

Justeru, tumpuannya ialah pada e-dagang dan perbelanjaan akan lebih disasarkan ke arah itu berbanding peruncitan.

Dabhade berkata, landskap e-dagang akan berkembang lebih cepat dengan lebih banyak perniagaan menggunakannya berbanding sebelum ini.

“Ia juga akan menggalakkan ‘agrregator’, agensi pemasaran, juruperunding, agensi pembangunan dan perniagaan berkaitan bagi membantu peruncit menggunakan pendigitalan,” katanya.