Dokumen palsu Covid-19: 2 warga Bangladesh direman 2 minggu

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek direman bermula Sabtu hingga 19 Jun ini bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen saringan Covid-19.

KUALA LUMPUR: Dua lelaki Bangladesh direman imigresen selama 2 minggu selepas disyaki menjalankan aktiviti penipuan dengan cara mengeluarkan dokumen keputusan ujian saringan negatif Covid-19 bagi warganegara asing Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek direman bermula Sabtu hingga 19 Jun ini bagi membantu siasatan berhubung kes membabitkan mereka.

“Ekoran kejadian itu, polis akan terus melaksanakan pembanterasan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, 2 lelaki Bangladesh dilapor ditahan dalam 2 serbuan di Jalan Alor di sini selepas disyaki menjalankan aktiviti penipuan dengan cara mengeluarkan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 yang negatif bagi warganegara asing.