Fomca saran usir warga asing beli dokumen palsu saringan Covid-19

Dokumen palsu keputusan ujian saringan Covid-19 yang dijual pada harga RM50 sekeping. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan pengguna mencadangkan kerajaan menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan warga asing mempunyai dokumen perjalanan sah yang membeli dokumen palsu keputusan ujian saringan Covid-19.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman turut menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman keras ke atas individu terbabit dalam sindiket dokumen palsu keputusan ujian itu kepada warga asing.

Katanya, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan nyawa manusia jika pembeli dokumen palsu itu positif Covid-19.

“Mereka perlu dikenakan tindakan tegas kerana mendedahkan masyarakat dengan mereka yang mungkin positif Covid-19, tetapi didakwa sebagai negatif akibat dokumen palsu tersebut.

“Rekod PATI menggunakan dokumen palsu itu perlu diambil dan ditegah daripada masuk ke dalam negara kita dalam tempoh tertentu, walaupun mempunyai dokumen perjalanan sah kerana mereka ini melakukan kesalahan berat.

“Larangan kembali ke Malaysia juga perlu dikenakan ke atas warga asing yang terlibat menjual dokumen palsu itu,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, 2 lelaki Bangladesh yang disyaki mengeluarkan dokumen palsu keputusan ujian saringan Covid-19 negatif bagi warga asing ditahan dalam 2 serbuan di Jalan Alor, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim dilaporkan berkata, 2 suspek itu ialah penjaga kaunter di kaki lima kedai di Jalan Alor itu yang beroperasi satu hingga 2 minggu dengan setiap dokumen keputusan saringan Covid-19 dikenakan bayaran RM50.

Katanya, kaunter itu beroperasi setiap hari bermula 12 tengah hari sehingga 9 malam, di mana seorang penjaga akan ditempatkan di kaunter untuk mengendalikan sebuah komputer riba, ketika berurusan dengan pelanggan.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid turut mencadangkan mereka yang terbabit dalam penjualan dokumen palsu keputusan ujian saringan Covid-19 itu dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Perlu disiasat mengikut undang-undang negara, jika terbukti terbabit hendaklah dibawa ke muka pengadilan, didakwa dan dihukum.”