Kerajaan digesa buka pintu kepada pelancong perniagaan zon hijau

Chuah Poh Khiang berkata, dengan SOP dan syarat keselamatan tertentu, kerajaan boleh membuka semula sempadannya secara berperingkat dan memberi keutamaan kepada pelancong perniagaan dari negara dan rantau diklasifikasikan sebagai ‘zon hijau’.

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuka semula pintunya kepada pelancong perniagaan dari rakan dagang serantau secara berperingkat, khasnya Asean, China dan negara Jalur dan Laluan dengan syarat keselamatan tertentu, sejajar usaha membuka lebih banyak sektor ekonomi.

Presiden Persatuan Jalur dan Laluan Malaysia, Chuah Poh Khiang berkata membenarkan pelancong perniagaan yang memenuhi syarat keselamatan ke Malaysia penting untuk menjana semula perdagangan dan pelaburan asing dalam persekitaran ekonomi domestik yang lembap.

“Memandangkan situasi pandemik Covid-19 di Malaysia dan beberapa negara seperti China, Thailand dan Vietnam telah stabil, serta lebih banyak langkah keselamatan menyeluruh dilaksanakan kerajaan, tiba masanya untuk mempertimbangkan bagi memulihkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun warga asing masih dilarang memasuki banyak negara, bagaimanapun katanya, terdapat negara dengan kawalan pandemik lebih baik mula melonggarkan peraturan mereka, seperti Thailand membenarkan warga asing dengan permit kerja atau kebenaran untuk memasuki negara itu.

Chuah berkata, dengan prosedur operasi standard (SOP) dan syarat keselamatan tertentu, kerajaan boleh membuka semula sempadannya secara berperingkat dan memberi keutamaan kepada pelancong perniagaan dari negara dan rantau diklasifikasikan sebagai “zon hijau”.