Kos, kriteria kelulusan punca pusat asuhan tak berdaftar dengan kerajaan, kata persatuan

Taska dan pusat asuhan persendirian digesa berdaftar dengan kerajaan untuk membolehkan pemantauan terhadap pematuhan mereka ke atas prosedur keselamatan dan kebersihan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

PETALING JAYA: Sesetengah pengusaha pusat asuhan kanak-kanak dan taska di rumah enggan mendaftar dengan kerajaan kerana mereka tidak dapat memenuhi kriteria pendaftaran, kata sebuah kumpulan tadika.

Eveleen Ling yang mempengerusikan Persatuan Tadika Malaysia, berkata kos untuk memenuhi kriteria itu ialah faktor utama atas keengganan mereka mendaftar.

Katanya, pengusaha taska perlu menghadiri satu kursus wajib dan mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan.

“Kursus itu bukan percuma dan mereka perlu bayar untuk mendapatkan lesen operasi,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menyentuh kesukaran mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang akan memeriksa jenis bangunan sebuah pusat itu duduki dan kawasan operasinya.

“Ramai pengusaha beroperasi di rumah dan tidak mungkin mereka mengubah premis jika pihak berkuasa menganggap ia tidak selamat.”

Beliau berkata, sesetengah ibu bapa memilih pengasuh atau pusat tidak berdaftar kerana bayaran lebih murah.

Katanya, bayaran bulanan di pusat berdaftar di bandar besar boleh mencecah RM2,000 setiap anak.

Khamis lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob menggesa taska dan pusat asuhan persendirian berdaftar dengan kerajaan untuk membolehkan pemantauan terhadap pematuhan mereka ke atas prosedur keselamatan dan kebersihan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Ibu tunggal yang mempunyai 2 anak, Mardiah Rahman berkata beliau akan menghantar anaknya ke pusat berdaftar jika berkemampuan, tetapi beliau tidak dapat membayar lebih RM600 untuk 2 anaknya.

Oleh itu, 2 anaknya dijaga seorang jiran dengan bayaran RM350 sebulan.

Beliau bekerja mengikut syif dan memerlukan penjaga dengan waktu fleksibel untuk menjaga anaknya.

“Pusat jagaan kanak-kanak berdaftar mungkin mengenakan bayaran lebih jika saya hantar anak-anak pada waktu malam.”