Lelaki ditahan maki, tumbuk polis di sekatan jalan

Polis berkata, kejadian itu berlaku di sekatan jalan raya di KM1 Jalan Endau-Rompin, dekat Mersing pada Jumaat lalu dan pembonceng motosikal terbabit ialah seorang nelayan dalam perjalanan dari Mersing ke Pahang.

JOHOR BAHRU: Seorang pembonceng motosikal ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menumbuk pegawai polis yang memintanya mengemukakan permit perjalanan rentas negeri di sekatan jalan raya (SJR) di KM1 Jalan Endau-Rompin, dekat Mersing, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mersing, Cyril Edward Nuing berkata lelaki berumur 29 tahun yang berasal dari Pahang itu kini direman 4 hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 332 dan 186 Kanun Keseksaan.

“Kejadian berlaku kira-kira 5 petang kelmarin, di mana pegawai polis bertugas menahan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dinaiki 2 lelaki di SJR tersebut.

“Semasa pegawai polis meminta kad pengenalan dan permit perjalanan, pembonceng motosikal itu tiba-tiba naik angin lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan menumbuk pegawai polis berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pegawai polis lelaki itu mengalami luka kecil di bahagian atas mata kanan kerana pergelutan semasa hendak menahan pembonceng itu.

Katanya, pembonceng tersebut yang merupakan seorang nelayan dalam perjalanan dari Mersing ke Pahang.

Rakannya yang menunggang motosikal itu pula tidak terlibat dalam kes tersebut.