Peluncur maut diserang jerung 3m di Australia

Serangan jerung di Australia antara yang tertinggi di dunia, tetapi ia jarang membabitkan kematian. (Gambar Reuters)

BRISBANE: Seorang peluncur maut selepas diserang seekor jerung sepanjang 3m di sebuah pantai terkenal di pantai timur Australia, kata polis pada Ahad.

Lelaki itu meluncur di Kingscliff, kira-kira 100km selatan Brisbane, pada pagi Ahad.

“Polis diberitahu beberapa peluncur lain yang tampil membantunya dan bertarung dengan jerung itu sebelum membantu mangsa di tepi pantai,” kata polis dalam satu kenyataan.

“Beliau diberikan rawatan kecemasan untuk kecederaan serius di kaki kirinya, tetapi meninggal dunia di tempat kejadian.”

Polis berkata, identiti lelaki itu belum dikenal pasti, tetapi dipercayai beliau berusia 60 tahun dan berasal dari Queensland.

Ini adalah kematian ke-3 akibat serangan jerung di Australia tahun ini.

Serangan jerung di Australia antara yang tertinggi di dunia, tetapi ia jarang membabitkan kematian.

Data Zoo Taronga di Sydney menunjukkan 27 serangan jerung berlaku di Australia tahun lalu, tetapi tiada kematian dilaporkan.