Peniaga kenderaan Sarawak mohon diskaun cukai jualan 50% susulan lambakan stok

Pekema berkata, anggota persatuan di negeri itu berdepan masalah lambakan stok kenderaan yang tidak dapat dijual melibatkan kenderaan import. (Gambar Bernama)

KUCHING: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Sarawak memohon kerajaan memberikan diskaun cukai jualan kenderaan sebanyak 50% bagi mengurangkan lambakan stok kenderaan yang tidak dapat dijual di negeri itu.

Presiden Pekema Sarawak Abang Khalid Abang Marzuki berkata, hampir seluruh anggota persatuan di negeri itu berdepan masalah lambakan stok kenderaan yang tidak dapat dijual, melibatkan kenderaan import.

“Jika pengecualian cukai ini turut merangkumi kenderaan-kenderaan berkenaan, saya percaya ia akan dapat dijual, sekali gus mengurangkan jumlah stok sedia ada dan seterusnya ahli Pekema dapat mengimport semula stok kenderaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya dengan pengecualian itu, harga kenderaan yang lebih berpatutan dapat ditawarkan kepada pembeli kereta dan seterusnya merancakkan semula industri automotif tempatan.

“Pekema Sarawak berharap kerajaan dapat memperkenalkan program pengecualian cukai lebih spesifik yang dapat memberi impak kepada perniagaan seperti insentif pengurangan duti import dan eksais,” katanya.

Kerajaan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan pada Jumaat memberikan pengecualian cukai jualan sebanyak 100% ke atas penjualan kereta penumpang pemasangan tempatan dan 50% bagi kereta penumpang yang diimport bagi tempoh 15 Jun hingga 31 Disember ini.