PKPP: Polis tetap tugasan baru tanpa sekatan jalan raya

Polis dan tentera akan berbincang bagi mendapatkan perasetujuan bersama berhubung pelaksaan PKPP bermula 10 Jun ini.

KUALA LUMPUR: Polis akan menetapkan bentuk penugasan baru, susulan pengumuman perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), yang berakhir Selasa ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedang memperhalusi butiran berhubung pengumuman PKPP tersebut.

“Menjelang 9 Jun nanti, kami akan dapat menetapkan bentuk penugasan baharu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, penugasan baharu ini juga termasuk kawalan trafik memandangkan orang ramai akan mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung.

Selain itu, ditanya sama ada sekatan jalan raya (SJR) akan diteruskan, beliau berkata, ia sudah tidak ada keperluan.

“Buat saat ini, SJR untuk PKPP ini jelas sudah tidak ada keperluannya lagi, kecuali di lokasi Op Benteng Covid-19. Saya akan berbincang terlebih dahulu dengan panglima Angkatan Tentera untuk mendapatkan kefahaman dan persetujuan bersama.

“Mungkin penugasan pemantauan akan ditambah bagi memastikan kepatuhan kepada jarakan sosial,” katanya.

Abdul Hamid berkata, semangat ingin merayakan sambutan Aidilfitri masih berkobar-kobar dalam kalangan masyarakat dapat dijangkakan, namun mengingatkan bahawa perjuangan melawan Covid-19 ini belum berakhir.

Antara inti pati PKPP adalah perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan PKPD.