Rakyat Malaysia pulang dari luar negara dibenar dikuarantin di rumah, kata Ismail Sabri

Bermula 10 Jun rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan didapati negative Covid-19 dibenarkan menjalani kuarantin di rumah dengan SOP ketat.

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan telah disaring negatif Covid-19 tidak lagi perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin bermula 10 Jun.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaacob berkata, mereka dibenarkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Bermula 10 Jun 20202 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara tidak lagi akan dikuarantin wajib di pusat kuarantin. Sejurus tiba di lapangan terbang mereka akan menjalani ‘swab test’.

“Mereka yang didapati positif akan dihantar ke hospital untuk rawatan. Bagi yang negatif, mereka perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing,” katanya.

Ismail berkata, antara SOP yang perlu dilakukan mereka yang menjalani kuarantin di rumah ialah memuat turun aplikasi MySejahtera dan pergerakan mereka akan dipantau pihak berkuasa.

“Mereka tidak boleh keluar rumah, mereka juga diwajibkan memakai gelang tangan kuarantin (wristband) bagi memudahkan proses identifikasi,” katanya.

Katanya, mana-mana individu yang perlu menjalani kuarantin di rumah sebaik pulang dari luar negara yang melanggar SOP ditetapkan akan dikenakan hukuman kompaun RM1,000, selain berhadapan tindakan mahkamah serta hukuman penjara.

“Mana-mana individu yang mengingkari arahan kuarantin wajib dan SOP yang ditetapkan akan dikompaun RM1,000 dan dihadapkan ke mahkamah, termasuk berdepan hukuman penjara,” katanya.

Ismail berkata, keputusan kerajaan memberi kelonggaran kuarantin di rumah setelah mengambil kira kadar jangkitan di negara lain sudah terkawal dan jumlah jangkitan juga menunjukkan penurunan.

“Kerajaan juga berjaya meningkatkan keupayaan untuk membuat ujian saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa kita.

“Kita membuat perubahan ini berdasarkan data jumlah rakyat yang pulang dari luar negara dan didapati positif selepas 14 hari hanya sekitar 1%, sementara jangkitan di negara luar juga sudah terkawal,” katanya.