Tiada kematian, 19 jangkitan baru Covid-19

PETALING JAYA: Tidak ada kematian membabitkan Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, dengan jumlah kematian kekal sebanyak 117 kes.

Dalam perkembangan sama, 19 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 8,322 orang sehingga kini, dengan jumlah kes aktif sebanyak 1,531.

“Daripada 19 kes baru yang dilaporkan, 6 adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Daripada kes penularan tempatan, 2 kes membabitkan bukan warganegara dan 11 kes warganegara,”

“Sehingga kini 5 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tidak ada yang memerlukan bantuan pernafasan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, terdapat 39 kes pulih dan dibenarkan pulang ke rumah dan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 6,674.

Perincian bagi 11 kes dalam kalangan warganegara membabitkan 6 individu di Selangor, 2 daripadanya adalah saringan di pusat rehabilitasi di Dengkil, madrasah tahfiz (2 kes), orang kena tahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam (1 kes) dan 1 kes saringan di tempat kerja di Klang.

“Manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1 kes adalah melibatkan kluster pangsapuri di Cheras dan 1 kes kluster Gombak yang merupakan kluster baru.

“1 kes lagi adalah daripada saringan melibatkan pekerja kilang di Seremban, Negeri Sembilan dan 2 kes di Sabah bagi saringan kontak rapat ahli keluarga kepada kes 3,641 dan 4,537,” katanya.