Tidak mustahil Malaysia boleh putuskan jangkitan Covid-19 walaupun tanpa vaksin, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yakin negara dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 seperti yang dilakukan terhadap wabak Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) dan sindrom pernafasan virus korona Timur-Tengah (Mers-CoV).

Noor Hisham berkata, perkara itu hanya boleh dilakukan sekiranya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan oleh Putrajaya dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak itu.

“Apa yang kita pasti dan belajar daripada SARS dan Mers-CoV, yang walaupun sampai ke hari ini masih tidak ada vaksin, tetapi dengan menggunakan kaedah tindakan kesihatan awam, kita dapat membendungnya.

“Ada kemungkinan itu… tanpa menggunakan vaksin… kalau kita semua patuh kepada SOP dan saranan kesihatan awam, kita juga boleh putuskan jangkitan Covid-19. Jadi tidak mustahil kita boleh berjaya putuskan jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang media hariannya, hari ini.

Menurut Noor Hisham lagi, keadaan akan menjadi lebih baik sekiranya vaksin bagi mencegah wabak Covid-19 dapat ditemui.

“Kita seru rakyat Malaysia patuh pada SOP. Menurut kajian ‘The New England Journal of Medicine’, kalau kita boleh amalkan penjarakan sosial seperti 1 meter atau 2 meter lagi bagus, kita boleh putuskan rantaian jangkitan.

“Ditambah pula dengan amalan memakai topeng dan kerap mencuci tangan. Jadi adalah penting untuk kita sama-sama lihat bagaimana kita boleh pulihkan ekonomi kita tanpa vaksin dan amalkan SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Noor Hisham berkata, terdapat 1 kluster baru Covid-19 membabitkan jangkitan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Gombak.

“Kluster Gombak adalah kluster yang baru. Kita kenal pasti kakitangan di IPD itu ada yang terlibat. Mungkin ini adalah satu faktor kenapa kita lakukan saringan secara berkala dan sebagainya.

“Apabila kita kesan, kita terus jalankan aktiviti kesihatan awam. Kita kenal pasti mereka yang terlibat. Mereka yang positif kita akan asingkan dan diberi rawatan.

“Kalau ada kontak rapat, kita akan asingkan dan kuarantinkan juga,” katanya.