Wang RM600,000 dirampas adalah bantuan Covid-19, Ramadan dan Aidilfitri, kata Pemuda PPBM

Pemuda PPBM berkata, wang tunai yang dirampas daripada 2 anggota sayap itu hari ini adalah wang bantuan Covid-19, Ramadan dan Aidilfitri.

PETALING JAYA: Pemuda PPBM menegaskan wang tunai RM600,000 yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediaman 2 ahli sayap itu hari ini merupakan wang bagi kegunaan bantuan Covid-19, Ramadan dan Aidilfitri.

Ia berkata, wang itu dikeluarkan kerana ketidaktentuan tempoh pelaksaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

Dalam kenyataan hari ini, ia juga berkata, bantuan fasa pertama sudah diedarkan ke seluruh negara.

“Fasa pertama bantuan makanan sudah diedarkan ke seluruh negara pada bulan Ramadhan. Bantuan kebajikan tambahan juga sudah diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Ini adalah perkara asas bagi menjaga kebajikan ahli seperti yang dilakukan oleh PPBM di peringkat pusat,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu hari ini, SPRM merampas wang tunai berjumlah RM600,000 dari rumah 2 anggota Pemuda PPBM dipercayai milik parti berkenaan.

Pengarah Siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali dilaporkan berkata, kedua-dua ahli Pemuda PPBM itu disoal-siasat pada 5 Jun lepas.

SPRM juga merampas sebuah kereta bernilai RM100,000 yang dimiliki pihak ketiga dan dipercayai sudah dibeli menggunakan dana yang disalahgunakan itu.

Pemuda PPBM berkata, pihaknya tidak akan menyokong sebarang bentuk penyelewengan wang, sekali gus mengalu-alukan siasatan yang adil berhubung perkembangan itu.

“Pemuda PPBM sedia bekerjasama dengan SPRM untuk menyiasat perkara ini selagi mengikut garis panduan dan prosedur yang betul. Kami sentiasa berpegang pada prinsip berani kerana benar,” katanya.

SPRM sebelum ini menahan seorang pemimpin pemuda parti itu bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang bekas ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman.

SPRM menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa tangkapan itu bermotif politik dan sebaliknya agensi itu mengesyaki berlakunya penyelewengan dalam akaun Pemuda PPBM.