293,033 permohonan program subsidi upah dilulus setakat ini, kata Perkeso

Di bawah inisiatif Penjana, Perkeso bertanggungjawab melaksanakan program insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan, perlindungan sosial dan latihan bagi pekerja ekonomi ‘gig’ dan insentif pengaturan kerja fleksibel. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 293,033 permohonan Program Subsidi Upah (PSU) diluluskan melibatkan peruntukan berjumlah RM4.03 bilion setakat semalam, kata ketua eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 2.2 juta pekerja dan majoriti majikan yang membuat permohonan adalah dalam kalangan perusahaan mikro serta industri kecil dan sederhana.

“Untuk tempoh 1 bulan pertama sejak ia diperkenalkan pada 1 April lepas, Perkeso telah menerima 248,216 permohonan daripada majikan yang mana merangkumi 1.98 juta pekerja,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, di sini, hari ini.

Menyambut baik inisiatif kerajaan melanjutkan PSU kepada 3 bulan lagi beliau berkata, syarikat atau perusahaan masih memerlukan bantuan kewangan, terutama perusahaan kecil dan sederhana bagi membolehkan pengoperasian syarikat menjadi lebih stabil.

“Oleh itu, mereka tidak akan mengambil langkah yang lebih drastik seperti melakukan pemberhentian pekerja,”katanya.

Ketua pegawai eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas mengenai usaha naik taraf portal pekerjaan Perkeso yang turut diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi memperkasakan rakyat, beliau berkata, semua pihak layak memohon pekerjaan dalam portal itu secara percuma dan akan turut dibantu dari segi pencarian kerja dan latihan.

“Portal ini telah lama diwujudkan untuk membantu mereka yang hilang pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), tetapi kita naik taraf bukan hanya kepada pencarum atau mereka yang tertakluk kepada SIP, tetapi diperluaskan kepada siswazah tamat belajar, penganggur dan sebagainya

Bagi mereka yang berada di kawasan yang kurang capaian internet pula, tak perlu risau, mereka hanya perlu ke pusat internet desa (PID) di kawasan mereka, dan pengendali di PID yang dilatih Perkeso akan membantu mereka menggunakan portal berkenaan,” katanya.

Pada 5 Jun lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Penjana bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion yang memberi tumpuan kepada memperkasakan rakyat, merancakkan perniagaan dan merangsang ekonomi dengan RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung.

Antara inisiatif lain di bawah Penjana itu yang turut dipertanggungjawabkan kepada Perkeso, termasuklah melaksanakan program insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan, perlindungan sosial dan latihan bagi pekerja ekonomi gig dan insentif pengaturan kerja fleksibel.