Bayi 8 bulan antara 7 individu positif Covid-19 hari ini

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seorang bayi di Likas, Sabah dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan sebelum menjalani pembedahan.

PUTRAJAYA: Satu daripada 7 kes jangkitan baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini membabitkan bayi berusia 8 bulan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi terbabit dikesan positif selepas menjalani ujian saringan sebelum menjalani pembedahan.

“Kes saringan sebelum pembedahan di hospital wanita dan kanak-kanak di Likas, Sabah dan melibatkan seorang bayi perempuan berumur 8 bulan yang bergejala dan menjalani pembedahan. Ini kes (positif) yang kita rekodkan (hari ini),” katanya, pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham berkata, punca jangkitan bayi itu sedang disiasat dan pihaknya sedang melakukan ujian saringan kepada mereka yang mempunyai kontak rapat, termasuk ibu dan bapa bayi terbabit.

Noor Hisham turut memaklumkan, selain bayi 8 bulan, seorang pegawai imigresen bantuan daripada kluster Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil di Kuala Lumpur, juga antara 7 individu yang diumumkan positif Covid-19hari ini.

“Satu kes tempatan (daripada kluster Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil) melibatkan pegawai imigersen bantuan yang tidak menunjukkan simptom, tetapi mungkin terdedah kepada tahanan atau pesakit positif,” katanya, selain menambah pegawai itu kini diasingkan untuk dirawat.

Suami teman isteri bersalin

Dalam perkembangan lain Noor Hisham berkata, kebenaran kepada suami untuk menemani isteri di dalam dewan bersalin bergantung pada dasar pengurusan dan ruang yang ada di sesebuah hospital.

Katanya, pihak hospital perlu mengambil kira aspek berkenaan terlebih dahulu.

“Isu sama ada suami boleh mengiringi isteri di dalam dewan bersalin bergantung pada dasar hospital terbabit dan mengambil kira ruang di tempat berkenaan.

“Ada hospital membenarkan suami mengiringi isteri di dalam dewan bersalin kerana ada ruang mencukupi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jika ruang mencukupi, hospital terbabit boleh mempertimbangkan perkara itu,” katanya.

Sebelum ini, hospital kerajaan tidak membenarkan suami menemani isteri di dalam dewan bersalin sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP bersyarat (PKPB).

Tiada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa kekal 117 kes.

Dalam perkembangan sama, 7 jangkitan baru dilaporkan, iaitu angka paling rendah sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.

Daripada jumlah itu, 2 daripadanya adalah kes import, sementara 5 merupakan penularan tempatan membabitkan warganegara Malaysia.

Perincian bagi 5 kes dalam kalangan warganegara membabitkan 2 individu di Selangor, 2 di Sabah dan 1 di Wilayah Persekutuan.