Esok KKM, KPM bincang muktamad tarikh buka semula sekolah

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata, ibu bapa akan dimaklumkan 2 minggu lebih awal sebelum sekolah dibuka.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KPM) akan mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) esok bagi membincangkan tarikh sesuai untuk membuka semula sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan,Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, jika tarikh pembukaan itu dimuktamadkan, ibu bapa akan dimaklumkan 2 minggu lebih awal bagi membolehkan persiapan persekolahan anak mereka dibuat.

“Kita akan bincangkan dengan lebih mendalam dengan KPM esok. Kita akan bincang tarikh sesuai bila sekolah akan dibuka. Kalau tarikh telah ditetapkan, ibu bapa akan dimaklumkankan 2 minggu sebelum sekolah dibuka.

“Seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, kita akan beri keutamaan kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam dahulu,” katanya pada sidang akhbar harian situasi semasa wabak Covid-19 di kementeriannya di sini, hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang akan berakhir 9 Jun ini digantikan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos depan.

Perdana menteri berkata, keputusan melaksanakan PKPP dibuat selepas mendapati kadar kes dalam kalangan warga tempatan semakin baik dan berlaku trend menurun.

Katanya, lebih banyak kelonggaran akan diberikan, termasuk perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun ini, kecuali di kawasan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Semua sekolah dan pusat pengajian tinggi ditutup susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.