Jangan caj RM10 bagi barangan RM3.80, kata menteri

Kerajaan membenarkan kedai gunting rambut dan salun kecantikan beroperasi semula mulai 10 Jun ini dengan pematuhan SOP ketat.

PUTRAJAYA: Kadar baru harga gunting rambut mestilah sejajar kos tambahan yang terpaksa ditanggung pekedai dan bukannya membebankan pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, hanya kos barangan yang terlibat dalam pencegahan Covid-19 boleh dicaj kepada pelanggan, selain kos asal upah gunting rambut.

“Sebagai contoh, sekiranya proses menggunting rambut hanya melibatkan penggunaan pemakaian topeng, apron pakai buang, sarung tangan dan cecair pensanitasi tangan, maka hanya kos barangan terlibat ini saja yang boleh dicaj kepada pelanggan selain kos asal upah gunting,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sambil memberi contoh barangan tambahan ialah apron plastik penutup badan pengguna yang berharga RM3, kos sarung tangan RM0.50 dan cecair pensanitasi tangan RM0.30, Nanta berkata jumlah kos tambahan yang boleh dikenakan ialah RM3.80 saja dan pengusaha kedai gunting tidak boleh mengenakan caj tambahan sehingga RM10.

Katanya, anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemeriksaan ke atas premis gunting rambut dan salun kecantikan bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan serta membebankan pengguna.

Sabtu lalu, caj gunting dan dandanan dilapor akan dinaikkan antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan susulan peningkatan kos operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi perkhidmatan itu.

Nanta turut menyarankan premis gunting rambut dan kecantikan mempamerkan senarai harga setiap barangan tambahan serta caj servis pemotongan rambut bagi membolehkan pelanggan menyemak harga terlebih dahulu dan mengelak kekeliruan.

Pengguna boleh membuat aduan kepada KPDNHEP terhadap mana-mana kedai gunting rambut serta salun kecantikan yang mengenakan caj berlebihan tidak munasabah.

Kes boleh disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP), katanya.

Aduan boleh dibuat melalui WhatsApp di nombor 019-2794 317 atau mana-mana bilik gerakan atau melalui pusat panggilan 1 800 886 800 atau e-mel kepada [email protected]

Kerajaan membenarkan kedai gunting rambut dan salun kecantikan beroperasi semula mulai 10 Jun ini dengan SOP ketat selepas sektor itu ditutup ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.