Kanak-kanak mungkin dah tak peduli, ibu bapa ulas sekolah masih ditutup

Sekolah petugas kesihatan menyembut cecair nyahjangkit di sebuah sekolah di Kuala Lumpur. Sekolah ditutup sejak pertengahan Mac bagi mengawal penularan Covid-19. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ibu bapa kebimbangan kerana anak mereka sudah lama tidak ke sekolah, mengatakan anak-anak menunjukkan kurang motivasi untuk terus bersekolah atau isu lain berkaitan penjagaan kanak-kanak, ketika negara memasuki fasa pemulihan perintah kawalan pergerakan (PKP) tanpa butiran jelas mengenai persekolahan.

Yafiz Jamaludin berkata 2 anaknya, seorang di Tahun 1 dan seorang di tadika, beria-ria mahu ke sekolah apabila perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada pertengahan Mac.

“Tetapi sekarang mereka tak peduli dah,” katanya kepada FMT. “Saya bimbang anak tak lagi berminat ke sekolah.

“Sebagai ibu bapa, sudah tentu kami bimbang dengan kesihatan anak-anak, tapi kami juga bimbang kalau mereka tak bersekolah.”

Yafiz Jamaludin dan keluarga.

Yafiz, yang pernah menjadi jurulatih pasukan lumba basikal Selangor, menggesa kerajaan mempertimbangkan kesan cuti berpanjangan ke atas perkembangan jangka masa panjang kanak-kanak.

Beliau berkata pembelajaran di rumah tidak berkesan seperti belajar di kelas kerana anak-anaknya mudah hilang tumpuan.

Beliau menambah keadaan lagi mencabar bagi anaknya yang belajar di Tahun 1 sekolah Cina.

“Dalam kebanyakan mata pelajaran, memang sangat susah nak ajar kerana saya tak tahu bagaimana nak bantu dia.

“Saya bimbang dia akan ketinggalan jika sekolah terus ditutup,” katanya.

Rachel Che, yang anaknya belajar di Tahun 2, setuju murid-murid susah nak beri perhatian pada pelajaran jika mereka berada di rumah.

Pusat jagaan kanak-kanak yang selamat pula menjadi kebimbangan kepada seorang suri rumah, Fadzlili Azaha.

“Orang ramai berhat-hati tentang menyerahkan anak mereka kepada jagaan orang lain dalam keadaan sekarang,” katanya.

“Apabila orang mahu kembali bekerja tetapi bimbang tentang anak-anak, sudah tentu ia akan beri kesan pada mereka.”

Beliau kecewa apabila membaca laporan mengatakan murid mungkin hanya boleh kembali ke sekolah tahun depan tetapi akui hal ini melibatkan faktor kesihatan.

Pelajar seluruh negara tidak ke sekolah sejak pertengahan Mac kerana pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan.

Sumber yang dekat dengan perbincangan mengenai pembukaan semula sekolah memberitahu FMT baru-baru ini bahawa mungkin hanya pelajar sekolah menengah yang menduduki peperiksaan penting akan kembali ke kelas.

“Sekolah rendah akan ditangguhkan sehingga tahun depan dalam rancangan itu,” kata sumber kepada FMT.

Sekiranya rancangan itu disahkan, jutaan kanak-kanak akan ketinggalan hampir setahun pelajaran di kelas.

Juga terdapat kebimbangan ia akan beri kesan pada jadual ibu bapa yang bekerja yang perlu mengatur jagaan bagi anak-anak di usia persekolahan.

Ketika ini tiada butiran mengenai bila sekolah akan dibuka walaupun kerajaan semalam berkata hampir semua kegiatan sosial termasuk di sektor pendidikan akan dibuka semula secara berperingkat bawah PKP Pemulihan (PKPP).

Garis panduan dikeluarkan kepada sekolah minggu lepas, termasuk keperluan mengamalkan saringan suhu badan dan penjarakkan sosial 1 meter antara meja apabila kelas bersambung.

Vivian Ho, yang berkata dia membantah sebarang rancangan untuk terus menutup sekolah sehingga tahun depan, beritahu FMT anak-anak akan lebih tumpu kepada pelajaran di kelas kerana mereka “selesa” di rumah.

Beliau berkata ramai ibu bapa tidak cukup masa untuk mengawasi pelajaran anak kerana sibuk bekerja atau tiada kesabaran.

“Saya kurang sabar semasa mengajar anak saya,” kata Ho, yang anaknya patut masuk Tahun 1 tahun depan.

“Saya kagum dengan kemampuan para guru.”

Rowen Tan, yang anaknya dijadualkan mula bersekolah rendah tahun depan, berkata sebarang rancangan untuk membuka semula sekolah pada 2021 akan lebih mudah diterima ibu bapa yang boleh bekerja dari rumah atau waktu bekerja yang singkat.

“Namun dengan penjagaan kanak-kanak yang baik pun, susah untuk ajar anak-anak kerana guru lebih berkemahiran,” tambahnya.