Lebih 80% pelanggan kediaman terima diskaun elektrik

KUALA LUMPUR: Lebih 80% pelanggan Tenaga Nasional Bhd (TNB) mendapat diskaun antara 15% dan 50% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan dari tempoh 1 April hingga 30 Sept 2020.

Ketua pegawai runcit TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata kadar yang diperkenalkan menerusi pakej Prihatin tersebut akan dinikmati oleh pengguna sektor kediaman B40 dan M40 TNB yang berjumlah 6.3 juta daripada keseluruhan lebih 7.5 juta pengguna dalam sektor kediaman.

Bawah pakej Prihatin, syarikat utiliti tersebut menawarkan diskaun bil tenaga pada 50% bagi penggunaan tenaga di bawah 200 kilowatt, 25% antara 201 dan 300 kilowatt, dan 15% antara 301 dan 600 kilowatt.

Kerajaan juga memutuskan untuk memberi diskaun 2% kepada semua pengguna lain dalam kategori perdagangan, perindustrian dan pertanian spesifik serta pengguna domestik bagi penggunaan elektrik pada tempoh tersebut.

“Seramai 6.3 juta pengguna kediaman daripada 7.5 juta adalah pengguna bawah kategori B40 dan M40. Dalam erti kata lain, 85% daripada pelanggan Tenaga Nasional akan mendapat diskaun antara 15 hingga 50 peratus,” katanya dalam program berita Buletin Utama TV3 baru-baru ini.

Kerajaan menerusi TNB memperuntukkan RM530 juta untuk pemberian diskaun berperingkat itu bagi tempoh 6 bulan.

Selain itu, TNB turut memperkenalkan Pelan Bayaran Mudah yang ditawarkan secara automatik kepada lebih 7.5 juta pengguna sektor kediaman bagi menyelesaikan bil elektrik mereka yang tertunggak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Megat Jalaludin berkata menerusi pelan tersebut yang ditawarkan secara automatik, pengguna diberi kelonggaran untuk membuat pembayaran secara ansuran sehingga Disember tahun ini, sambil membayar bil semasa.

“Bagaimanapun bagi pengguna yang ingin menjelaskan sepenuhnya (bil mereka) boleh saja berbuat demikian tanpa terikat dengan Pelan Bayaran Mudah. Tapi kita menggalakkan supaya pengguna menggunakan skim bayaran mudah ini yang telah disediakan,” katanya.

Beliau berkata untuk pelan berkenaan, pengguna boleh merujuk kepada bil sebenar semasa yang dikeluarkan TNB, yang terletak pada hujung sebelah kanan dalam kotak berwarna kuning.

Di dalam bil sebenar semasa, jumlah bayaran penuh akan tertera disamping jumlah bayaran minimum ansuran sekiranya pengguna memilih skim berkenaan.

Turut dilaksanakan, katanya, pengecualian surcaj lewat bayar sehingga akhir September dan penangguhan pemotongan bekalan sehingga 31 Julai depan.