New Zealand tiada kes Covid-19 aktif

Reaksi seorang lelaki ketika diuji untuk Covid-19 di Christchurch pada April. (Gambar AP)

WELLINGTON: New Zealand tiada kes Covid-19 aktif selepas negara itu mengeluarkan pesakit terakhir daripada pengasingan, kata pihak berkuasa hari ini.

Peristiwa itu “berita sangat baik” dan pencapaian yang boleh dibanggakan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Ashley Bloomfield.

“Tiada kes aktif buat pertama kali sejak 28 Feb pastinya suatu peristiwa dalam usaha ini tetapi, seperti yang kami katakan sebelum ini, penting untuk sentiasa waspada terhadap Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Cara New Zealand mengendalikan pandemik itu mendapat pujian, seperti kawalan ketat 7 minggu yang tamat bulan lepas selepas virus itu dikawal.

Negara itu yang mempunyai 5 juta penduduk melaporkan 1,154 kes dan 22 kematian.

Tiada jangkitan baru dalam tempoh 17 hari dan setakat Isnin, hanya 1 kes aktif dalam tempoh lebih daripada seminggu.

Butiran pesakit terakhir tidak didedahkan atas sebab privasi namun dipercayai mangsa seorang wanita berusia 50-an yang dikaitkan dengan kluster di pusat penjagaan warga emas di Auckland.

“Kes berbaki itu bebas gejala selama 48 jam dan dianggap pulih. Pesakit sudah dibebaskan daripada pengasingan,” kata jabatan kesihatan.

Perdana Menteri Jacinda Ardern hari ini dijangka mengumumkan New Zealand akan beralih ke Aras Amaran 1, paling rendah dalam sistem amaran virus 4 aras.

Aras itu mengekalkan kawalan sempadan antarabangsa tetapi kawalan domestik seperti had ke atas himpunan awam dan penjarakkan sosial wajib ditarik balik.