P Pinang nak ikut akta mana, Ismail jawab isu pelaksanaan PKPP

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan keputusan kerajaan Pulau Pinang berhubung pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), mengatakan perintah itu membatalkan peraturan sebelum ini.

“Saya pun tak faham kenyataan ketua menteri Pulau Pinang ini, dia nak ikut akta mana? Tentulah terpaksa ikut PKPP yang diwartakan,” katanya pada sidang media hari ini.

Kerajaan mengumumkan PKPP akan berkuatkuasa 10 Jun sehingga 31 Ogos, menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat yang tamat esok. Kelonggaran diberikan untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

Semalam, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilapor berkata kerajaan negeri akan melaksanakan PKPP dengan meneliti tatacara operasi standard perintah itu, dengan sidang media akan diadakan selepas mesyuarat esok bagi mengumumkan keputusan dan ketetapan Pulau Pinang mengenai pelaksanaannya.

Ismail hari ini menjelaskan kecuali Sarawak, rujukan kerajaan negeri berhubung kawalan penyakit berjangkit hanya Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan tidak boleh buat peraturan bertentangan.

“Jika mereka laksanakan (peraturan bertentangan), akan terbatal dan tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Menteri berkata pihak berkuasa juga menguatkuasakan undang-undang mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan persekutuan.

Sementara itu, berhubung isu kuarantin wajib yang belum tamat, Ismail berkata mereka yang dikuarantin ketika ini selepas pulang dari luar negara boleh sambung kuarantin di rumah mulai 10 Jun.

“Mereka boleh balik dan digalakkan muat turun aplikasi MySejahtera,” katanya.

Sanitasi awam juga diteruskan sepanjang PKPP bagi mengurangkan penularan Covid-19.

“Sebelum vaksin ditemui, Covid-19 masih berada di sekitar kita,” katanya.

Mengenai Aidiladha pula, suatu SOP akan diumumkan nanti.

Mengenai bas awam, perkhidmatan itu masih dilarang beroperasi dengan kapasiti penuh kerana penjarakkan sosial masih diteruskan.

Pasar juga masih perlu mematuhi penjarakkan sosial, tambahnya.