Pakar pediatrik gesa kerajaan tambah baik SOP untuk buka semula sekolah

Pakar berkata, garis panduan Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan berkait pembukaan semula sekolah dilihat kurang tepat dengan arahan yang agak kabur dan pelan tindakan tidak lengkap.

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pakar perunding pediatrik hari ini merayu pihak berkuasa supaya menimbangkan untuk menambah baik kualiti prosedur operasi standard (SOP) pengurusan sekolah berhubung langkah mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan 4 pakar perunding itu, mereka berkata, SOP serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini dilihat agak kurang tepat, dengan arahan yang agak kabur dan pelan tindakan untuk kes penting yang tidak lengkap.

“SOP itu tidak memberi penjelasan mengenai cara untuk menggalakkan 3 ‘W’ (wash-membersihkan tangan, wear-memakai pelitup muka, warn-amaran jangkitan) di samping tidak menjelaskan bagaimana cara mengelak 3 ‘C’ (close-perbualan dekat, confined-tempat sempit, crowded-tempat ramai) bagi para pelajar, guru dan petugas pentadbiran,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluakan oleh penasihat National Early Childhood Intervention Council (NECIC) Dr Amar Singh HSS; presiden NECIC Dr Wong Woan Yiing; pengerusi Persatuan Positive Parenting Programme of the Malaysian Paediatric Dr Zulkifli Ismail; dan presiden Malaysian Paediatric Association Dr Hung Liang Choo.

Dalam menyampaikan ucapan tahniah kepada KPM dengan penyediaan SOP berkenaan, kenyataan itu bagaimanapun berkata, garis panduan perlu ditampilkan dengan lebih menyeluruh, dilengkapi dengan saranan yang jelas dan bermakna yang boleh dipatuhi oleh guru dan pelajar.

Menurut kenyataan itu walaupun amalan membasuh tangan dengan air dan sabun dalam kalangan guru dan pelajar dinyatakan dalam SOP itu, namun kewajipan penggunaan pensanitasi tangan sebelum dan selepas kelas tidak dinyatakan.

Kenyataan itu turut merujuk kepada kekurangan garis panduan berhubung pemakaian pelitup atau pelindung muka bagi para guru semasa mengajar dalam kelas.

Perkara lain yang dibangkitkan, termasuk pengurusan penempatan pelajar di sekolah yang padat, dasar pengunaan tandas, interaksi antara pelajar di kelas yang berbeza, bilik guru, ventilasi dalam kelas, pemantauan harian peruntukan makanan antara sekolah, serta pembiayaan bagi sumber seperti alat saringan suhu badan, dan pensanitasi tangan.

“Latihan buat pelajar dan petugas ada disebut secara umum dan diserahkan kepada budi bicara pihak berkuasa sekolah.

“Bagaimanapun bahan latihan antara sekolah perlu diseragamkan supaya ia boleh menyalurkan maklumat yang menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), yang antaranya memaklumkan bahawa sekolah akan dibuka semula secara berperingkat berdasarkan kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).