Perbicaraan MH17 bersambung selepas tertangguh akibat Covid-19

Empat defenden dibicarakan tanpa kehadiran mereka kerana menembak jatuh MH17 pada Julai 2014, peristiwa yang membunuh 298 penumpang. (Gambar Bernama)

AMSTERDAM: Peguambela dalam perbicaraan tembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine pada 2014 hari ini meminta tambahan masa untuk membuat persediaan, ketika pendengaran awam yang ditangguhkan kerana kawalan koronavirus bersambung semula.

Langkah penjarakkan sosial menyaksikan 5 hakim dipisahkan dengan cermin, dan peguam dan ahli keluarga dijarak-jarakkan. Maksimum 30 orang dibenarkan dalam bilik perbicaraan.

Empat defendan dibicarakan pada Mac selepas siasatan hampir 6 tahun oleh sepasukan penyiasat antarabangsa dari Belanda, Australia, Ukraine, dan Malaysia.

Penyiasat berkata pelancar peluru berpandu yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat penumpang itu dari sebuah pangkalan tentera darat Rusia berdekatan sempadan Ukraine dan angkatan pro-Rusia kerap berhubung dengan pegawai kerajaan Rusia di Moscow sebelum serangan pada 17 Julai 2014.

Belanda menuduh Rusia bertanggungjawab tetapi dinafikan Kremlin.

Defenden terbabit – Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov dan Igor Girkin dari Rusia, dan Leonid Kharchenko dari Ukraine – masih bebas. Pulatov satu-satunya melantik pasukan peguam, manakala yang lain dibicarakan tanpa kehadiran mereka.

Perbicaraan hari ini dijangka berkenaan prosedur, mengenai apa lagi yang perlu disiasat sebelum isi kes dibentangkan.

MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh peluru berpandu yang dilancarkan dari kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Moscow ketika berlawan dengan askar Ukraine, mengorbankan semua 298 penumpang.

Semua suspek memegang jawatan kanan dalam militia pro-Rusia di timur Ukraine pada 2014, menurut pendakwaraya. Tuduhan permulaan terhadap mereka adalah awal bunuh dan menyebabkan kapal terbang terhempas.

Pendakwaraya berkata 4 individu itu membantu mengatur sistem peluru berpandu Rusia yang digunakan untuk menembak jatuh MH17, sebuah pesawat awam. Kebanyakan yang terkorban warga Belanda.

Pendakwaraya dijangka memberikan perkembangan terkini siasatan dan bila mereka rancang untuk memberikan kenyataan pembukaan.