Pintu sempadan boleh dibuka jika penularan tempatan Covid-19 terkawal, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pintu sempadan boleh dibuka kepada pelancong dari negara “green bubble”, iaitu negara zon hijau yang bebas Covid-19, tetapi ia harus dibincangkan dengan negara terbabit.

PUTRAJAYA: Pertimbangan untuk membuka pintu sempadan negara, termasuk membabitkan aktiviti pelancongan, hanya boleh dibuat jika jangkitan kes Covid-19 tempatan kekal 1 angka sepanjang perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, keutamaan negara ketika ini ialah menangani penularan kes jangkitan tempatan dan menilai sejauh mana kawalan boleh dibuat dengan langkah membuka semula sektor ekonomi, sosial dan pendidikan sepanjang fasa itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, jika ia berjaya dicapai, terdapat cadangan supaya pintu sempadan dibuka kepada pelancong negara “green bubble”, iaitu negara zon hijau dan perlu dibincangkan dengan negara terbabit.

“Kalau kita boleh buka sektor sosial, ekonomi, dan kita boleh kawal penularan Covid, maka mungkin kita boleh pertimbangkan kelonggaran dari segi kawalan sempadan antarabangsa.

“Kalau negara itu dari ‘green bubble’, mungkin kita akan pertimbangkan. Tetapi kena lihat juga prosedur operasi standard (SOP) antara 2 negara. Kalau ia boleh dipersetujui bersama, mungkin boleh dilaksanakan. Namun, harus melalui perbincangan dengan negara terbabit.

“Kita boleh ketengahkan konsep ‘green bubble’ merentas 2 negara dalam kalangan negara terpilih sahaja dan ia mempunyai kriteria tertentu,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Negara menutup pintu sempadan antarabangsanya pada akhir Mac lepas bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

KKM cadang laksana 2 syif di klinik terpilih

Dalam perkembagan lain Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk menyediakan perkhidmatan 2 syif di hospital dan klinik terpilih bagi mengatasi masalah kesesakan di ruang menunggu fasiliti tersebut.

Katanya, pelaksanaan langkah itu akan bermula di hospital atau klinik kategori 2 dan 3 yang besar dan sesak.

Menurutnya, cadangan itu dibuat berikutan kes jangkitan Covid-19 yang menunjukkan penurunan ketara ketika ini.

“Kita mencadangkan untuk mengadakan (perkhidmatan kesihatan) 2 syif di klinik, iaitu syif pagi dan petang, iaitu bagi membolehkan kita mengamalkan penjarakan sosial.

“Kita juga bercadang menggunakan kaedah temu janji dan pesakit hanya perluk datang pada masa dan tarikh ditentukan.

“Kita akan lihat cara pelaksanaannya di klinik kesihatan dan juga hospital sebab kita mahu elak kesesakan di ruang menunggu,” katanya ketika diminta mengulas sama ada kementerian bercadang untuk melaksanakan sistem 2 syif di hospital dan klinik bagi mengelakkan kesesakan.

Mengulas isu kesesakan membabitkan aplikasi MySejahtera, Noor Hisham berkata, ia berlaku kerana aplikasi itu menerima hingga 700,000 permohonan pendaftaran dalam tempoh 1 minit selepas kerajaan mengumumkannya sebagai prasyarat untuk menebus kredit e-dompet sebanyak RM50 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Susulan pengumuman kerajaan berkenaan kredit RM50 e-dompet pengguna, orang ramai memuat turun aplikasi MySejahtera menyebabkan kesesakan.

“Kita alami 700,000 permohonan pendaftaran serentak dalam masa yang singkat. Jadi kita nasihatkan mereka yang ingin muat turun aplikasi tersebut perlu ada penjarakan juga,” katanya.