PAS komited perkukuh kerjasama dengan PPBM, Umno hadapi PRU15

Takiyuddin Hassan berkata, PAS komited terus mempertahankan kedudukan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yasin dan semua spekulasi pihak pembangkang hanya perang psikologi.

PETALING JAYA: PAS berikrar akan terus memperkukuhkan kerjasama politik dengan PPBM dan Umno untuk mempertahankan kedudukan Perikatan Nasional serta bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata parti itu komited kepada piagam yang dimeterai bersama Umno tahun lalu dan memorandum persefahaman yang ditandatangani bersama pemimpin Barisan Nasional, PPBM, parti dari Sabah serta Sarawak, susulan kejatuhan Pakatan Harapan Februari lalu.

“PAS menegaskan kerjasama politik terutamanya bersama BN dan PPBM semakin mantap, sekaligus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan kerajaan PN.

“PAS juga amat yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan kerajaan PN, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri sehingga akhir penggal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal bulan lalu, FMT melaporkan rancangan mendapatkan ahli Parlimen Melayu dari PAS dan Umno berpaling tadah kepada PN bagi “membina momentum terhadap Muhyiddin” dengan mengingatkan 2 parti itu mengenai piagam mereka.

Piagam Umno-PAS ditandatangani September 2019 untuk membentuk kuasa politik Melayu yang kuat.

Tetapi, sumber dalam PAS berkata, parti itu kekal bersama PN.

Hari ini, Takiyuddin berkata, dakwaan perpecahan dalam kalangan PAS, PPBM dan Umno sekadar perang psikologi.

“Tanpa menghiraukan segala spekulasi pihak pembangkang yang hanya berupa perang psikologi semata-mata, PAS akan terus komited mendukung dan mempertahankan kedudukan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yasin bersama barisan Kabinetnya.”

Beliau berkata, PN sedang membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 dan memuktamadkan pembahagian kerusi, walaupun tarikh belum ditentukan.

Pada 17 Mei lalu, pemimpin PPBM, BN, PAS, GPS, PBS dan STAR menandatangani memorandum persefahaman bagi mengesahkan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Sebelum ini, Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, keengganan mengadakan persidangan Dewan Rakyat pada Mei lalu seperti biasa merupakan isyarat PN tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dan takut menghadapi undi tidak percaya.

Tetapi, sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu menyaksikan 114 ahli Parlimen duduk di blok kerajaan, sekaligus memberi gambaran Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.