Singapura rumus pelan kontigensi adakan pilihan raya umum semasa Covid-19

Jabatan Pilihan Raya Singapura berkata, antara langkah yang akan diambil ialah menambah jumlah pusat pengundian daripada 880 kepada 1,100, dengan jumlah pengundi di setiap pusat akan dikurangkan daripada purata 3,000 kepada 2,400. (Gambar AP)

SINGAPURA: Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura merumuskan pelan kontingensi untuk memastikan pilihan raya umum, yang perlu diadakan menjelang April 2021, dijalankan dengan selamat sekiranya pandemik Covid-19 masih berterusan.

Pada taklimat teknikal secara maya hari ini, jabatan itu berkata, langkah itu akan melindungi kesihatan dan keselamatan pengundi, calon dan pegawai pilihan raya sepanjang proses pencalonan dan pengundian.

Dalam merumuskan langkah berkenaan, ELD berkata, pihaknya mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan (MOH) sedia ada berhubung jarak yang selamat dan pengendalian orang ramai, yang turut terpakai bagi aktiviti kempen, termasuk perhimpunan fizikal, tinjauan dan lawatan rumah ke rumah.

“Oleh kerana aktiviti ini melibatkan perhimpunan ramai orang, garis panduan itu akan bergantung pada situasi Covid-19 pada masa itu,” kata ELD dan menurutnya pihaknya akan kongsikan garis panduan itu pada tarikh kemudian.

Sekiranya nasihat kesihatan melarang aktiviti berkumpul membabitkan ramai orang, ELD akan memastikan pengundi mempunyai akses pada mesej kempen semua parti politik dan calon.

“Ini mungkin termasuk tambahan masa siaran TV bagi calon dan parti politik,” katanya.

Seperti pada pilihan raya sebelum ini, ELD berkata, aktiviti kempen di Internet akan diteruskan mengikut garis panduan ditetapkan untuk aktiviti itu.

ELD akan melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan proses penamaan calon dan pengundian berjalan lancar dan selamat, termasuk memeriksa suhu badan, memanfaatkan aplikasi SafeEntry untuk daftar masuk/keluar bagi pengesanan kontak serta menguatkuasakan penjarakan sosial pada setiap masa.

Bagi mengurangkan potensi berlaku kesesakan di pusat pengundian, ELD akan menambah jumlah pusat pengundian daripada 880 kepada 1,100, dengan jumlah pengundi di setiap pusat akan dikurangkan daripada purata 3,000 kepada 2,400.

Menjelang hari pengundian, ELD berkata, pihaknya akan membuat pemakluman dan hebahan kepada pengundi menerusi pelbagai saluran komunikasi dalam 4 bahasa rasmi bagi memberi jaminan bahawa keadaan adalah selamat untuk pengundi dalam pilihan raya yang diadakan dalam situasi Covid-19.