Thailand bebas jangkitan tempatan Covid-19 selama 14 hari

Sejak penularan wabak Covid-19 pada Januari, Thailand merekodkan 3,119 kes dengan 58 kematian. (Gambar AP)

BANGKOK: Thailand bebas daripada jangkitan tempatan Covid-19 selama 14 hari dan mencatatkan 7 kes baru, kesemuanya merupakan rakyatnya yang kembali dari luar negara dan dikuarantin selama 14 hari dengan tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Semenjak penularan wabak itu pada Januari, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi bagi Covid-19 (CCSA) , Thaweesilp Wissanuyothin berkata, Thailand merekodkan 3,119 kes Covid-19 dengan 58 kematian.

“Thailand melaporkan 77 kes dalam 2 minggu lepas dan kesemua mereka adalah rakyat Thailand yang pulang dari luar negara,” kata beliau dalam taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Thaweesilp berkata, 7 kes baru Covid-19 itu terdiri daripada 4 rakyat Thailand yang kembali dari Emiriah Arab Bersatu, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, 2 penuntut yang pulang dari Pakistan dan seorang wanita yang tiba dari Amerika Syarikat.

“Kesemua mereka tidak menunjukkan sebarang simptom penyakit,” katanya.

Sejak 3 April lepas, beliau berkata, sejumlah 34,965 rakyat Thailand kembali dari luar negara dan 25,201 daripada mereka melengkapkan kuarantin 14 hari di kemudahan disediakan kerajaan.

“Terdapat 182 didapati positif Covid-19,” katanya.