Tiada sembelihan haiwan korban di masjid di Singapura tahun ini

Majlis Ugama Islam Singapura berkata, situasi tidak menentu berikutan wabak Covid-19 menyulitkan proses mengimport haiwan ternakan untuk ibadat korban di masjid di republik itu tahun ini. (Gambar Facebook)

SINGAPURA: Tiada haiwan ternakan yang akan diimport ke Singapura bagi tujuan ibadah korban tahun ini sempena Aidiladha berikutan situasi pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, pihak masjid menawarkan khidmat korban bagi memudahkan umat Islam yang berhasrat melaksanakan ibadah itu, yang dijalankan di Australia, dagingnya kemudian dibekukan dan dihantar ke Singapura.

Masjid di republik itu kemudian akan meneruskan amalan mengagihkan sebahagian daripada daging tersebut kepada keluarga berpendapatan rendah dalam komuniti.

Timbalan Mufti Singapura Mohd Murat Md Aris berkata, lebih penting di sebalik amalan korban adalah intipatinya, iaitu umat Islam melakukan ibadat korban sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat dan dilakukan dengan ikhlas untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

“Melindungi komuniti daripada kemudaratan dalam konteks sekarang, adalah satu tanggungjawab dan pengorbanan yang besar, yang boleh dilakukan oleh umat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) situasi yang tidak menentu berikutan Covid-19 menyulitkan proses untuk mengimport haiwan ternakan ke Singapura dan juga untuk melaksanakan ibadat korban di masjid di republik berkenaan pada tahun ini.

“Ini memandangkan keadaan yang tidak menentu dalam tempoh 2 bulan akan datang dan proses untuk mengimport haiwan ternakan, mengedarkan haiwan itu ke masjid dan menganjurkan penyembelihan di masjid memerlukan pelaksanaan yang teliti dan perancangan awal,” menurut kenyataan tersebut.

Disebabkan keadaan itu, bagi sambutan Aidiladha pada tahun ini, masjid di Singapura akan menawarkan khidmat korban untuk memastikan umat Islam masih boleh melaksanakan ibadat korban tersebut dengan selamat.