Anwar bidas Muhyiddin diam diri dakwaan tawar jawatan pada pemimpin Umno

Anwar Ibrahim turut mengulangi gesaan supaya kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin membentangkan pakej rangsangan ekonomi bagi menangani impak Covid-19 untuk dibahaskan di Dewan Rakyat bagi mengelakkan ketirisan.

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim membidas Muhyiddin Yassin mendiamkan diri berhubung rakaman audio tidak disahkan yang mengaitkan perdana menteri itu didakwa menjanjikan jawatan dalam kerajaan kepada pemimpin Umno untuk menyertai PPBM.

“Seperti yang didedahkan dalam satu audio yang tular baru-baru ini, Muhyiddin sememangnya berhasrat untuk membeli dukungan ahli-ahli Parlimen melalui ‘scheme of things’.

“Sehingga hari ini, beliau masih belum memberikan apa-apa respons terkait ini. Di dalam bahasa Inggeris, ini disebut sebagai ‘deafening silence’,” katanya dalam catatan di Facebook malam ini.

Dalam rakaman audio yang mula tersebar di media sosial akhir bulan lalu, Muhyiddin didakwa menawarkan pemimpin Umno jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Rakaman itu didakwa dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Feb lalu – sehari sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM.

PPBM kemudiannya meninggalkan Pakatan Harapan, mencetuskan krisis politik yang menyebabkan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Anwar mengulangi gesaan supaya kerajaan membentangkan pakej rangsangan ekonomi bagi menangani impak Covid-19 untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, inisiatif dan bantuan berbilion ringgit itu perlu diimbangi Parlimen bagi mengelakkan ketirisan yang boleh menafikan hak kumpulan sasar.

“Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Korea Selatan, termasuk jiran kita Singapura meluluskan pakej rangsangan melalui badan Parlimen atau Kongres.

“Apa yang menghalang perdana menteri daripada mengambil contoh dan teladan yang sama? Legasi jenis apakah yang perdana menteri dan kerajaan hari ini akan tinggalkan kepada generasi akan datang?”

Beliau turut mengkritik Muhyiddin belum mengotakan janji yang dibuatnya Mac lalu untuk ahli Kabinetnya mengisytiharkan harta masing-masing.

“Sehingga hari ini, ia masih belum dilaksanakan dan rakyat tertanya-tanya apakah kerajaan hari ini masih berdiri sebagai sebuah kerajaan yang punya tanggungjawab dan ketelusan?