Dasar solat berjemaah, isu haji diumum Khamis

PUTRAJAYA: Dasar berkenaan solat berjemaah bagi tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akan diumumkan pada Khamis, selepas kerajaan semalam mengumumkan ia secara dasarnya bersetuju memberi kelonggaran, tertakluk kepada SOP melawan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Bakri berkata pelbagai pihak berautoriti sudah membincangkan dasar itu secara khusus.

“Satu kenyataan rasmi kita akan kemukakan selewat-lewatnya Khamis untuk menjawab sebarang bentuk kemelut dan persoalan berkenaan solat jemaah…kerana di Malaysia mempunyai tertib tersendiri,” katanya pada sidang media di Kompleks Islam hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob pada 6 Jun lalu berkata kelonggaran bagi solat berjemaah tertakluk kepada kelulusan Agong dan raja-raja Melayu.

Kebenaran dan tatacara operasi standard berkaitan mengikut ketetapan negeri dan kelulusan raja masing-masing.

Dalam pada itu, Zulkifli mengumumkan isu haji tahun ini juga akan diumumkan pada Khamis.

Pihak menteri dan Tabung Haji sudah bermesyuarat berhubung perkara itu dan ia akan dibentangkan ke Kabinet sebelum diserahkan kepada Agong.

Arab Saudi sehingga kini belum membenarkan akses bagi jemaah dari mana-mana negara meskipun musim haji semakin hampir ekoran pandemik Covid-19.