Hanya 7 jangkitan baru ketika angka sembuh lebih 250

PUTRAJAYA: Tidak ada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, dengan jumlah kematian kekal sebanyak 117 kes.

Dalam perkembangan sama, 7 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini, paling rendah sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksana 18 Mac.

“Daripada 7 kes baru yang dilaporkan, 6 adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Daripada kes penularan tempatan hanya 1 kes membabitkan bukan wargenagara, dan tiada penularan melibatkan warganegara,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehingga kini jumlah keseluruhan mangsa yang dijangkiti 8,336 orang.

Ketika ini, seramai 1,244 pesakit sedang dirawat.

“Sehingga kini 6 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 1 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya, terdapat 281 kes pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 6,975