Iraq sahkan roket timpa lapangan terbang berdekatan tentera AS

Askar AS membersihkan runtuhan di sebuah lapangan terbang di Anbar, Iraq selepas serangan pada Januari. (Gambar AP)

BAGHDAD: Askar Iraq semalam mengesahkan sebuah roket menimpa kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad di mana angkatan Amerika Syarikat ditempatkan, serangan terbaru terhadap kepentingan AS di negara itu.

Meskipun gelombang serangan roket sejak Oktober kelihatan reda, serangan terbaru ini 3 hari sebelum dialog strategik AS-Iraq yang juga akan menyentuh kerjasama ketenteraan di masa depan.

Pegawai keselamatan kerajaan memberitahu AFP bahawa serangan itu “tidak mengorbankan nyawa atau menyebabkan kerosakan”.

Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad ditutup kerana langkah kawalan koronavirus di Iraq, yang melaporkan kira-kira 13,000 kes termasuk 400 kematian berkaitan penyakit itu.

Serangan roket semalam itu merupakan serangan ke-29 sepertinya terhadap askar atau diplomat AS sejak Oktober.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab, tetapi Washington menuduh kumpulan bersenjata yang disokong musuh ketatnya dan jiran Iraq, Iran.

AS mengundurkan angkatannya dari Iraq pada 2011, 8 tahun selepas mengetuai serangan yang menumbangkan diktator Saddam Hussein dan mencetuskan konflik sektarian yang sengit.

Ribuan askar AS dikerah ke negara itu sejak 2014 dalam usaha pakatan melawan IS.

Pada Januari, sebuah dron AS membunuh komander Iran, Qassem Soleimani berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, meningkatkan ketegangan antara Washington dan Tehran.

Parlimen Baghdad bertindak balas dengan mengundi untuk mengusir semua askar asing dari wilayah Iraq, tetapi keputusan itu tidak dilaksanakan.