Lebih 200 Rohingya ditahan, mayat ditemukan dalam bot

Semua 269 pendatang tanpa izin Rohingya ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi. (Gambar MMEA)

KUALA LUMPUR: Seramai 269 Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan awal pagi tadi dengan pihak berkuasa turut menemukan mayat seorang wanita dalam bot yang dinaiki pendatang tanpa izin itu.

National Task Force (NTF) dalam kenyataan semalam berkata semua mereka ditahan pada kira-kira 5 pagi hasil maklumat pegawai pemerintah maritim operasi polis Langkawi beberapa jam sebelum itu.

Sebuah bot polis marin (PPM) dan kapal maritim (KM) Kimanis dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diatur gerak ke kawasan terlibat untuk melaksanakan operasi pemantauan dan pengusiran bot terbabit ke perairan antarabangsa.

“Ketika KM Kimanis menghampiri bot itu, seramai 53 warga Rohingya terjun ke laut dan berenang menuju ke pantai dan semua mereka berjaya ditahan oleh anggota APMM yang bersedia di daratan.

“Selain itu, pemeriksaan ke atas bot mendapati seramai 216 warga Rohingya dan mayat seorang wanita turut ditemukan di dalam bot itu,” menurut kenyataan tersebut.

Pemeriksaan juga mendapati bot berkenaan sengaja dibocorkan manakala enjin turut mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat dibaiki seterusnya tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan.

KM Kimanis turut memberikan bantuan berupa makanan dan air bersih kepada pendatang tanpa izin itu dan atas dasar kemanusiaan, Majlis Keselamatan Negara membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi.

“Semua 269 pendatang tanpa izin itu kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi manakala mayat itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.

NTF yang melaksanakan Op Benteng secara bersepadu melibatkan tentera, polis, APMM, dan agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain komited dalam memastikan sempadan perairan dan daratan negara tidak dicerobohi oleh pendatang tanpa izin atau anasir asing demi memelihara kedaulatan dan kesejahteraan negara.

Hari ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan seramai 396 pendatang tanpa izin dan 108 tekong ditahan dalam Op Benteng sejak 1 Mei lepas sehingga semalam atas cubaan memasuki sempadan negara secara haram.

Ekoran itu, pihak berkuasa juga menahan 11 individu disyaki penyeludup serta menyita 13 kapal selain berjaya mengusir 140 pendatang tanpa izin, enam tekong serta 22 kapal yang membuat cubaan membolosi kawasan sempadan negara.