Mahkamah tolak permohonan lucut hak RM1.59 juta milik Jakel, BN JB

Jakel Trading didakwa menerima wang berjumlah RM628,314 daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucutkan hak wang berjumlah RM1.59 juta daripada Jakel Trading dan Barisan Nasional (BN) Johor Bahru, yang didakwa ada kaitan dengan skandal penipuan dana 1MDB.

Jakel Trading dan BN Johor Bahru didakwa menerima wang itu daripada bekas perdana menteri, Najib Razak masing-masing berjumlah RM628,314 serta RM957,395.65.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas menimbangkan afidavit dan hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali dan Mahadi Abdul Jumaat memberitahu mahkamah, mereka akan memfailkan permohonan rasmi untuk penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan dalam masa 14 hari dari hari ini.

Peguam Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman mewakili Jakel Trading, manakala BN Johor Bahru diwakili peguam Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros.

Jun 2019, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan saman sivil untuk pelucutan hak terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

SPRM percaya wang itu dipindahkan secara tidak sah daripada akaun Najib.