Musa Aman bebas tuduhan rasuah, pengubahan wang

Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membebaskan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang berkaitan konsesi balak di negeri itu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu semasa pendengaran kes hari ini selepas pendakwaraya, diwakili Timbalan Pendakwaraya Azhar Abdul Hamid, berkata ia menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

Musa, ketua menteri dari 2003 hingga 2018, minta dibicarakan terhadap 35 tuduhan rasuah pada 5 Nov 2018. Lima daripadanya kemudian digugurkan.

Beliau dituduh menerima sogokan antara AS$28,500 dan AS$16,148,547 dari pelbagai individu 12 hingga 16 tahun lalu.

Beliau juga dikenakan 16 tuduhan pengubahan wang kerana didakwa menerima AS$37 juta daripada pelbagai individu dan syarikat dari Jun 2006 hingga Mac 2008.

Ditemui pemberita selepas sebutan kes, peguam Amer Hamzah Arshad berkata nama Musa dibersihkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong antara 2008 dan 2012.

“Kita sudah jelaskan apa yang berlaku pada siasatan di 2 negara dalam afidavit kami memohon kes dibatalkan,” katanya.

“Bekas peguam negara (Abdul Gani Patail) juga mengesahkan suatu afidavit menyokong permohonan kami membatalkan semua tuduhan terhadap Musa.”

Beliau menambah tuduhan pengubahan wang dan rasuah itu, yang difailkan terhadap Musa pada penghujung 2018, adalah suatu salahguna proses kerana penyiasat sudah membersihkan nama beliau.

“Kami sebut dalam permohonan kami bahawa tuduhan itu bersifat politik, dan ini pendakwaan yang berbaur politik,” katanya.

Beliau menambah Musa dibawa ke Mahkamah Sesyen beberapa hari sebelum Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menyampaikan keputusan mengenai samannya yang mencabar pelantikan Shafie Apdal sebagai ketua menteri.

Amer berkata pihak pembelaan sedia untuk perbicaraan pada September.

“Sekiranya kami berjaya, kerajaan mungkin berdepan tuntutan terhadap pendakwaan berniat jahat,” tambahnya.