Peguam negara beritahu sebab Musa bebas 46 tuduhan

Peguam Negara, Idrus Harun.

PETALING JAYA: Peguam Negara, Idrus Harun berkata, kegagalan mendapatkan bukti dokumentar penting dari Hong Kong antara sebab bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman dibebaskan daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang.

Katanya, bukti dokumentar dari syarikat dan bank, yang dijangka diperolehi, tidak dapat diperolehi melalui Permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah dari Hong Kong.

Beliau berkata, Jabatan Kehakiman Hong Kong menasihatkan syarikat dan bank itu yang mereka hanya dikehendaki menyimpan rekod selama 7 tahun dan berkemungkinan besar mereka tidak lagi memiliki rekod atau dokumen terbabit.

“Selain itu, terdapat saksi-saksi utama bagi pihak pendakwaan yang telah meninggal dunia, mengalami masalah kesihatan serius atau tidak lagi berada di Malaysia.

“Perkembangan terbaru ini, termasuk afidavit sokongan difailkan telah menyebabkan keadaan yang tidak mewajarkan pertuduhan diteruskan terhadap Musa,” kata Idrus dalam kenyataan hari ini merujuk afidavit untuk menyokong permohonan Musa membatalkan semua pertuduhan terhadapnya yang disahkan bekas peguam negara, Abdul Gani Patail.

Katanya, keputusan itu diperkukuhkan dengan surat bertarikh 22 Dis 2011 daripada Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong yang memaklumkan siasatan mereka terhadap Musa sudah lengkap.

“Keputusan yang dibuat ini adalah menurut kuasa yang boleh djalankan menurut budi bicara saya seperti yang termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.”

ICAC juga berkata, tiada tindakan siasatan lanjut akan dijalankan “berdasarkan fakta yang diketahui”.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan Musa selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang terhadapnya berhubung konsesi balak di Sabah.

Musa yang merupakan ketua menteri Sabah dari 2003 hingga 2018, berdepan 35 pertuduhan rasuah pada 5 Nov 2018. Lima daripadanya digugurkan kemudian.

Beliau didakwa menerima rasuah antara AS$28,500 dan AS$16,148,547 daripada beberapa individu 12 hingga 16 tahun lalu.

Beliau turut berdepan 16 pertuduhan pengubahan wang atas dakwaan menerima AS$37 juta daripada beberapa individu dan syarikat sejak Jun 2006 hingga Mac 2008.