Pelarian Rohingya mendarat di Langkawi akan disaring Covid-19

Pihak berkuasa menahan 269 pelarian Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi awal pagi tadi dengan mayat seorang wanita ditemui dalam bot yang dinaiki mereka. (Gambar MMEA)

PUTRAJAYA: Seramai 269 pelarian Rohingya yang ditahan semalam kerana menceroboh perairan Langkawi akan menjalani ujian saringan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, semua pelarian itu sudah menjalani saringan kesihatan lain dan tindakan lanjut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita akan bincang dalam mesyuarat bersama menteri-menteri kanan, termasuk kerjasama dengan pelbagai agensi,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Pihak berkuasa menahan 269 pelarian Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi awal pagi tadi dengan mayat seorang wanita ditemui dalam bot yang dinaiki mereka.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Luar akan berbincang dengan Bangladesh untuk menghantar pelarian Rohingya yang memasuki Malaysia secara paksa, ke Cox Bazar atau Pulau Bhasan Char di Teluk Benggala.

Beliau berkata, Kementerian Luar juga akan berbincang dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menghantar pelarian itu ke negara ketiga.

Keputusan buka sekolah diumum esok

Hisham berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung tarikh pembukaan semula sekolah dan akan membentangkan hasil perbincangan itu kepada Kabinet.

“Selepas perbincangan, keputusan akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet esok dan akan diumum. Kita tunggu selepas mesyuarat esok dan tindakan lanjut akan disusuli kementerian terlibat.”